Kes warga emas jatuh meningkat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Statistik menunjukkan bahawa warga emas yang berumur 65 tahun ke atas akan mengalami jatuh pada kadar 28 hingga 35 peratus setiap tahun dan kadar ini akan meningkat kepada 32 hingga 42 peratus bagi mereka yang berumur 70 tahun ke atas.

Menurut statistik Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) pada 2018, jumlah penduduk di negara ini yang terdiri daripada warga yang berumur 65 tahun ke atas semakin meningkat setiap tahun iaitu mencapai 20,200 orang atau 4.6 peratus dan ia akan dijangka terus meningkat pada tahun akan datang.

Oleh itu, tidak hairanlah statistik kes jatuh dan mengakibatkan patah pinggul turut meningkat dari setahun ke setahun. Pada 2016, kes jatuh yang mengakibatkan patah pinggul sebanyak 54 kes dan meningkat kepada 70 kes pada 2017 dan tahun lalu, ia terus meningkat kepada 85 kes.

Pegawai Jururawat Tingkat Khas, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Hajah Kartini binti Haji Suhai berkata demikian semasa menyampaikan taklimat pada Simposium Hari Antarabangsa Warga Emas yang berlangsung di Dewan Utama Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Beliau menyatakan, jatuh jelas mendatangkan banyak kesan kepada kehidupan seseorang antaranya seperti patah tulang, lemah anggota badan, tidak dapat berjalan, hilang keyakinan, banyak bergantung kepada orang lain, sukar menghadapi masyarakat, takut jatuh berulang kali, tidak dapat bekerja dan banyak lagi kesan negatif yang akan dihadapi seseorang disebabkan jatuh.

Hajah Kartini ketika menyampaikan pembentangannya mengenai program kesedaran mengelakkan jatuh bagi warga emas.

Banyak faktor yang menyebabkan risiko jatuh itu terjadi seperti umur, kesan ubat-ubatan, masalah penglihatan, gangguan dalam pergerakan seperti lemah anggota kaki, lutut dan sebagainya, kekeliruan pemikiran, gangguan keseimbangan badan seperti kemerosotan sistem vestibular, persekitaran tidak selamat dan banyak lagi.

Beliau turut berkongsi beberapa langkah bagi pencegahan jatuh terjadi seperti melakukan senaman, mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan, memastikan ubat-ubatan diambil sentiasa disemak dan dikemas kini oleh doktor, menjalani pemeriksaan mata setiap tahun, meningkatkan ciri keselamatan rumah serta menggunakan kasut yang selamat dan sesuai.

Disebabkan jatuh merupakan salah satu daripada masalah besar yang ditakuti oleh warga emas, Hajah Kartini semasa berucap turut menyarankan para warga emas untuk bersama-sama menghadirkan diri bagi menyertai ‘Program Kesedaran Elak Jatuh: Strategi Mencegah Jatuh’ yang akan diadakan di Pusat Promosi Kesihatan pada 12 November depan.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa menurut fakta daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebilangan besar kes jatuh yang berlaku di seluruh dunia terdiri daripada kalangan warga emas yang berumur lebih 65 tahun ke atas dan boleh mengakibatkan maut.

Sementara itu satu daripada empat orang yang berusia 65 tahun ke atas akan mengalami jatuh setiap tahun dan akan berlaku kematian seorang warga emas pada setiap 19 minit disebabkan jatuh. Sebanyak 95 peratus daripada kes jatuh tersebut turut menyebabkan patah pinggul.