Friday, February 21, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesabaran Amerika Syarikat ada hadnya

    TOKYO, 6 Nov – Masa bagi ‘kesabaran yang strategik’ dengan Korea Utara telah berakhir, Presiden AS Donald Trump hari ini memberi amaran, selepas mendapat sokongan Jepun bagi dasarnya yang menimbangkan semua pilihan untuk mengekang negara terasing itu.

    Pada hari kedua lawatan Asia beliau yang didominasi oleh krisis, Trump menyifatkan program nuklear Korea Utara sebagai ‘ancaman kepada dunia bertamadun dan keamanan serta kestabilan antarabangsa’.

    Presiden telah membayangkan pada masa lalu bahawa Washington mungkin melihat di luar penyelesaian diplomatik kepada cita-cita senjata nuklear Korea Utara dan menimbangkan campur tangan ketenteraan.

    “Era kesabaran yang strategik telah berakhir,” beliau mengisytiharkan di samping hosnya, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.

    Di bawah kepimpinan bekas presiden Barack Obama, AS menolak membabitkan Korea Utara sehingga ia membuat komitmen ketara kepada pembatalan program nuklear.

    Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengalu-alukan lawatan daripada Presiden AS Donald Trump di Tokyo, ibu negara Jepun, pada 6 November 2017. – Xinhua

    Washington berharap sekatan dan tekanan dalaman di negara terpencil itu akan membawa perubahan tetapi para pengkritik berkata dasar itu memberikan ruang buat Pyongyang untuk meneruskan dengan cita-cita nuklearnya.

    Sekutu rapat, Abe mengulangi kenyataan Trump, dengan menyuarakan sokongan Jepun bagi dasar Washington bahawa ‘semua pilihan sedang dibincangkan’ untuk menangani ancaman Korea Utara yang termasuklah kekerasan tentera.

    Abe, yang negaranya dalam sempadan tembakan peluru berpandu Korea Utara, juga mengumumkan sekatan Jepun ke atas aset 35 kumpulan dan individu Korea Utara.

    AS telah menggunakan banyak sekatan ke atas Korea Utara, paling terbaru pada September ekoran ujian keenam nuklear dan pelancaran-pelancaran peluru berpandu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda