MONACO, 28 Feb – Juara heavyweight dunia, Anthony Joshua adalah masa depan tinju selagi pasukan di sekelilingnya tidak terburu-buru, menurut seorang legenda tinju dari Amerika, ‘Marvellous’ Marvin Hagler.
Hagler, juara middleweight dunia pada 1980 hingga 1987 dengan 12 kali berjaya mempertahankan gelaran, menambah bahawa kekayaan dan kegemilangan yang dicapai oleh juara heavyweight juga menanti ‘bintang super’ berusia 28 tahun itu.
Joshua, yang telah memenangi pingat emas Olimpik di London pada tahun 2012 sebelum beralih profesional, dilihat mahu menambah gelaran Pertubuhan Tinju Dunia (WBO) yang dimiliki oleh Joseph Parker kepada tali pinggang Persatuan Tinju Dunia (WBA), Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) dan Pertubuhan Tinju Antarabangsa (IBO) yang sudah dimilikinya.
“Saya fikir Anthony mempunyai peluang besar, masa depan cerah, selagi mereka tidak terburu-buru,” kata Hagler semasa Laureus Awards di Monaco.
Hagler berkata bahawa dia teruja dengan bakat Joshua semasa dia menewaskan ikon Ukraine, Wladimir Klitschko dalam pertarungan menarik bagi gelaran WBA pada April 2017 di Wembley.
“Ketika ini saya fikir dia (Joshua) merupakan bintang super baru dalam dunia tinju,” kata Hagler.
“Dan dia mempuyai peluang terbaik, juga terdapat banyak wang yang tersedia. Saya menemui Anthony tahun lepas dan ketika pertarungan bersama Klitschko. – AFP