Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesaksamaan peluang pendidikan dititikberatkan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Ke arah mengukuhkan kemudahan akses pendidikan, peruntukan secara keseluruhannya berjumlah $19.8 juta dengan Harga Rancangan $195.4 juta di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 akan terus disediakan untuk penyediaan infrastruktur sekolah-sekolah rendah, menengah dan ugama serta institusi pengajian tinggi.

    Ini termasuk penyediaan infrastruktur untuk Kampus Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Daerah Temburong dan Kampus Kekal Politeknik di Ikas Bandung.

    Perkara berkenan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut berkata, bagi meningkatkan kebolehpasaran dan pembangunan kapasiti serta latihan kemahiran ke arah memperkasa kualiti dan pencapaian mutu pendidikan negara, sejumlah $42.8 juta secara keseluruhannya akan terus disediakan bagi pengendalian biasiswa di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi teratas di dunia.

    Di samping itu, sejumlah $44.7 juta akan disediakan untuk perkhidmatan pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan khusus untuk membiayai pengambilan pakar dan tenaga-tenaga pengajar termasuk Centre for British Teachers (CfBT) bagi meningkatkan tahap pencapaian pelajar-pelajar di seluruh negara.

    Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa sebagai salah satu usaha kerajaan dalam memberikan kesaksamaan peluang pendidikan di negara agar semua pelajar akan mendapat akses pendidikan serta mengelakkan keciciran dalam pelajaran, peruntukan sejumlah $1.9 juta akan disediakan di bawah pengendalian Kementerian Kewangan dan Ekonomi khususnya untuk pemberian Elaun Pelajaran Sekolah Khas Swasta kepada pelajar-pelajar yang berkeperluan khas agar memastikan mereka mendapat penjagaan dan pendidikan yang lebih komprehensif di sekolah-sekolah khas swasta yang tertentu.

    Selain itu, peruntukan sejumlah $1.5 juta akan terus disediakan bagi mengendalikan Skim Miftahun Najah untuk meringankan beban para ibu bapa dan penjaga yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan persekolahan pelajar-pelajar.

    Ke arah usaha dalam menyediakan tenaga kerja tempatan berdaya maju agar sejajar dengan keperluan bidang pekerjaan dan industri semasa dan juga masa hadapan, peruntukan sejumlah $20 juta akan disediakan di bawah MPEC, Jabatan Perdana Menteri bagi pengendalian program-program i-Ready, Skillsplus, SPIN dan Tradeskills.

    Gambar fail menunjukkan murid-murid mengikuti pengajian di dalam kelas. Pihak kerajaan berusaha untuk memberikan kesaksamaan peluang pendidikan di negara agar semua pelajar akan mendapat akses pendidikan serta mengelakkan keciciran dalam pelajaran.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda