Friday, January 3, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesan El Nino terhadap kehidupan manusia

    PARIS – Fenomena cuaca El Nino baru sahaja memanas. Menurut para saintis, fenomena tersebut berpotensi mengakibatkan suhu yang lebih tinggi dan kejadian cuaca ekstrem dalam tahun yang telah menyaksikan banyak kejadian sedemikian.

    El Nino pertama dalam beberapa tahun bermula bulan lalu, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia.

    Pemanasan suhu yang berlaku secara semula jadi di Lautan Pasifik biasanya berlangsung antara sembilan hingga 12 bulan dan dijangka menjadi lebih kuat menjelang akhir tahun.

    Para saintis telah memberi amaran bahawa kesan El Nino – digabungkan dengan pemanasan global yang disebabkan oleh manusia – berkemungkinan akan melampaui impak ke atas cuaca.

    Penyakit

    Penyakit bawaan vektor, seperti malaria dan denggi, telah terbukti meluaskan julat penyebarannya seiring peningkatan suhu.

    Gambar AFP

    Para saintis memberi amaran bahawa El Nino, yang berlaku sebagai tambahan kepada pemanasan global yang sudah teruk, boleh memburukkan lagi keadaan.

    “Kita dapat melihat daripada El Nino sebelum ini bahawa kita mendapat peningkatan dan wabak pelbagai penyakit bawaan vektor dan penyakit berjangkit lain di sekitar kawasan tropika, di kawasan yang kita tahu paling terjejas oleh El Nino,” kata ketua iklim impak di badan amal Wellcome Trust, Madeleine Thomson, kepada wartawan baru-baru ini.

    Kenaikan ini berpunca daripada dua kesan El Nino iaitu hujan luar biasa yang meningkatkan tempat pembiakan nyamuk, dan suhu yang lebih tinggi yang mempercepatkan kadar penularan pelbagai penyakit berjangkit.

    El Nino pada tahun 1998 dikaitkan dengan wabak malaria utama di Tanah Tinggi Kenya.

    Kesihatan

    Sukar untuk mengukur dengan tepat sejauh mana El Nino mengakibatkan kejadian cuaca ekstrem seperti kebakaran hutan.

    Namun, gelombang haba itu sendiri menimbulkan risiko yang besar kepada kesihatan.

    “Ia kadangkala dikenali sebagai pembunuh senyap kerana awda tidak semestinya menganggapnya sebagai satu ancaman,” kata Gregory Wellenius, ketua pusat iklim dan kesihatan di Universiti Boston.

    “Tetapi gelombang haba sebenarnya membunuh lebih ramai orang berbanding sebarang kejadian cuaca buruk yang lain.”

    Lebih 61,000 orang dianggarkan meninggal dunia disebabkan oleh gelombang haba di Eropah pada musim panas yang lalu – ketika tiada El Nino.

    Dan Julai 2023 kini telah disahkan sebagai bulan yang paling panas dalam sejarah yang direkodkan.

    Keselamatan makanan

    “Dalam tahun El Nino, terdapat negara-negara di mana peluang mendapat hasil tuaian yang buruk meningkat, contohnya di Asia Selatan dan Asia Tenggara,” kata Walter Baethgen dari Institut Penyelidikan Antarabangsa bagi Iklim dan Masyarakat.

    Bulan lalu, pengeksport beras terbesar di dunia, India, menyekat eksportnya kerana kerosakan tanaman akibat hujan monsun yang tidak menentu.

    Menurut para penyelidik, tindakan sebegitu berpotensi membawa kesan buruk kepada negara-negara yang bergantung kepada eksport, seperti Syria dan Indonesia, yang mungkin menghadapi ‘cabaran tiga kali ganda’ semasa El Nino.

    “Tuaian padi di negara-negara tersebut mungkin lebih rendah daripada biasa, perdagangan beras mungkin lebih sukar atau kurang dapat diakses di pasaran antarabangsa dan oleh itu, harga beras akan menjadi tinggi,” kata Baethgen.

    “Gabungan faktor-faktor ini cukup cepat mempengaruhi masalah keterjaminan makanan,” tambahnya.

    Implikasi Ekonomi

    Terusan Panama adalah pusat kepada laluan perdagangan global, tetapi baru-baru ini laluan itu mengumumkan bahawa hujan turun dengan sedikit – yang menurut ahli meteorologi diburukkan lagi oleh El Nino – memaksa pengendali mengehadkan lalu lintas, mengakibatkan penurunan pendapatan yang dijangka sekitar AS$200 juta.

    Kapal-kapal yang terpaksa diketepikan hanyalah satu contoh bagaimana El Nino boleh menjejaskan ekonomi global.

    Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science pada bulan Mei menganggarkan bahawa El Nino yang lalu telah menyebabkan kerugian lebih daripada AS$4 trilion kepada ekonomi global pada tahun-tahun berikutnya.

    “Kesan daripada El Nino dan pemanasan global dijangka akan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak AS$84 trilion dalam abad ke-21,” katanya.

    Kos mungkin masih belum jelas, tetapi para saintis berharap kebolehramalan El Nino akan meningkatkan kesediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang akibat dunia yang semakin panas.

    “Persediaan adalah jauh lebih berkesan berbanding tindak balas kecemasan,” kata Wellenius. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda