BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Seramai 289 orang telah disahkan dijangkiti HIV di kalangan warganegara dan penduduk tetap sejak dari tahun 1986 sehingga menjelang akhir tahun 2019, di mana daripada jumlah tersebut, seramai 218 orang (75 peratus) masih hidup dengan HIV.
Sementara jumlah kes tertinggi dilaporkan adalah pada tahun 2019 iaitu sebanyak 42 kes, yang mana 98 peratus adalah terdiri daripada kaum lelaki dan majoriti daripada kes adalah mereka yang dalam lingkungan usia 20 hingga 34 tahun.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa pelancaran Program Saringan HIV di Klinik Swasta pada sidang media sempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2020 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Jelasnya, pada masa ini, walaupun tidak ada rawatan khusus atau vaksin bagi jangkitan HIV, namun penghidap jangkitan HIV boleh dirawat menggunakan Anti-Retroviral Therapy (ART) yang mana rawatan ini boleh membantu penghidap HIV untuk hidup lebih sihat dan meningkatkan jangka hayat mereka serta mengurangkan risiko penularan HIV iaitu mencegah penghidap daripada menjangkiti HIV kepada orang lain.
Di Negara Brunei Darussalam, 85 peratus daripada penghidap HIV telah menerima rawatan ART dan di kalangan mereka yang menerima rawatan, 58 peratus telah berjaya dalam menyekat replikasi virus HIV di dalam badan ke tahap yang sangat rendah (iaitu viral suppression) sehingga mereka tidak mempunyai risiko untuk menjangkiti orang lain.

“Oleh itu, kita amatlah bersyukur kerana di negara ini, kemudahan-kemudahan kesihatan menerusi pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital di seluruh negara telah menyediakan perkhidmatan untuk mengesan jangkitan HIV dan juga untuk memberi rawatan ART tersebut yang boleh menyekat replikasi HIV dan penyebaran jangkitan HIV,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.
“Ke arah sama-sama membanteras jangkitan HIV di kala-ngan masyarakat di negara kita serta dalam mencapai sasaran untuk mengakhiri AIDS dalam Matlamat Pembangunan Mampan pada 2030, semua pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan beserta kumpulan-kumpulan masyarakat dan akar umbi perlu bekerjasama dan memberi dorongan dan dukungan agar kemudahan-kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang memerlukannya tanpa diskriminasi dan dilaksanakan secara terpelihara dan sulit atau confidential.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Majlis AIDS Negara Brunei Darussalam (BDAC) dan juga beberapa buah klinik swasta di negara ini akan mengendalikan Program Saringan HIV di Klinik Swasta iaitu satu program saringan bagi mengesan jangkitan HIV.
Program Saringan HIV di Klinik Swasta ini adalah untuk mengembangluaskan lagi pengesanan jangkitan HIV di kalangan masyarakat (di luar daripada kemudahan Kementerian Kesihatan) bagi menggalakkkan individu-individu yang mempunyai risiko jangkitan HIV untuk mendapatkan ujian HIV bagi pengesanan awal penyakit dan seterusnya mendapatkan rawatan yang sewajarnya, demi untuk menghalang penularan jangkitan HIV dan penyakit AIDS serta memperkukuhkan lagi pencegahan dan pengawalan jangkitan tersebut. Program rintis BDAC sebelum ini juga telah mendapat respon positif dari individu-individu yang telah menjalani ujian saringan tersebut.
Program ini akan dijalankan mulai 3 sehingga 31 Disember 2020. Program Saringan HIV di Klinik Swasta ini akan menggunakan HIV Rapid Test Kit, yang mana individu tersebut akan mendapat keputusan ujian saringan dalam jangka masa 15 hingga 20 minit.
Jika keputusan ujian adalah positif, individu tersebut akan dirujuk ke Kementerian Kesihatan bagi pengesahan dan rawatan selanjutnya. Individu yang berkelayakan akan dapat mengakses ujian saringan HIV secara percuma di beberapa klinik swasta di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Belait. Kelayakan bagi ujian saringan HIV adalah bagi warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berusia 16 tahun ke atas.
Di Daerah Brunei dan Muara, ujian saringan boleh dilakukan di Ammaan Medical Clinic, C.Y Lim Clinic, Dr Prema Clinic, Riverview Medical Clinic, Vitaliv Health and Wellness Clinic, Wholistica Clinic and Wellness, sementara di Daerah Belait di Panaga Health Centre.