‘Kesan, iktibar besar daripada COVID-19’

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Melihat kepada kesan pandemik COVID-19 yang membimbangkan, Sambutan Majlis Ilmu 2021 sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-75 membawakan tema COVID-19: Satu Iktibar, sesuai dengan keadaan yang dilalui negara pada masa ini.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu Sambutan Majlis Ilmu 2021 menjelaskan, tema berkenaan tepat pada masanya dan signifikan.

Semasa wawancara sempena Majlis Ilmu 2021, Yang Berhormat Pehin memberi pandangan, skop tema berkenaan amat luas yang boleh dilihat daripada perspektif perubatan dan kesihatan, agama, ekonomi, sosial, pendidikan, politik, teknologi komunikasi dan sebagainya.

Dalam menghadapi COVID-19, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menitahkan penggunaan vaksin ketuhanan dengan sentiasa mengingati Allah SWT dan memperbanyakkan doa.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa wawancara sempena Majlis Ilmu 2021.

“Baginda turut bertitah selain melakukan istighfar dan taubat terhadapNya, sembahyang hajat, berzikir, membaca Qunut Nazilah, membaca Surah Yasin, dan lain-lain di samping mematuhi piawaian antarabangsa yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.

Di samping itu, Baginda juga menitahkan rakyat dan penduduk untuk komited dengan psikologi iaitu bersabar dan bertenang serta yakin kepada pertolongan Allah.

Yang Berhormat Pehin turut mengucapkan syabas dan setinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan kerana secara konsisten memberikan maklumat pada setiap hari secara telus mengenai situasi COVID-19 dan dengannya mengelakkan andaian dan maklumat yang tidak sahih.

Manakala jika dilihat daripada perspektif individu, keluarga dan masyarakat, tambahnya, COVID-19 telah memupuk, membentuk dan menjadikan seseorang individu, keluarga dan masyarakat lebih berdisiplin.

“Sikap berdisiplin ini lebih penting lagi bagi mereka yang beragama Islam. COVID-19 melatih dan memperkukuhkan disiplin diri dalam beribadat dan dalam kehidupan seharian,” tegasnya.

Menurutnya lagi, sepanjang gelombang pertama dan dalam gelombang kedua ini, kita telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan pergerakan dan meniadakan perkumpulan ramai.

COVID-19 juga memberi kesan yang besar kepada kehidupan seluruh lapisan masyarakat daripada orang tua hinggalah kanak-kanak selain menjejaskan golongan pengusaha dan peniaga daripada yang bersaiz multinasional kepada pengusaha mikro, kecil dan sederhana.

Di sebalik semua ini, jelas Yang Berhormat Pehin, COVID-19 adalah manifestasi perpaduan masyarakat dan ia adalah satu ujian mengukur ketahanan kita sebagai sebuah bangsa.

“Ini jelas terpancar selaku rakyat dan penduduk negara ini berdiri teguh di belakang kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” tambahnya.

Ketahanan diri ini diperkukuh lagi dengan vaksin ketuhanan di mana amalan vaksin ketuhanan yang diamalkan, akan mengukuhkan lagi iman dan takwa umat Islam di negara ini.

“Sebagai sebuah negara zikir, benteng pertahanan kita akan menjadi bertambah kukuh dengan rakyat dan penduduknya yang beriman dan bertakwa,” jelasnya.