(SIRI SATU)
BERIKUT menjelaskan secara ringkas kesan-kesan perbezaan individu dalam sesuatu kelas. Aspek perbezaan itu ialah dari segi fizikal, intelek (kognitif), emosi, sosial dan rohani (budaya dan agama).
Kesan-kesan perbezaan individu
–Fizikal: Terdapat saiz murid-murid tinggi, sederhana, kecil, gemuk, kurus, kuat dan lemah.
–Intelek (Kognitif): Terdapat intelek murid pintar cerdas, sederhana, IQ rendah, kecerdasan pelbagai, berkeperluan khas.
–Emosi: Terdapat kompetensi kecerdasan emosi murid tinggi, sederhana dan rendah, termasuk negatif dan positif.
–Sosial: Terdapat golongan murid berbeza dari segi status ekonomi, personaliti seperti konsep kendiri.


–Rohani (budaya dan agama): Terdapat golongan murid berbeza dari aspek rohani kerana terdiri daripada pelbagai kaum yang mengamalkan budaya yang berbeza dan menganuti agama yang tidak sama.
Implikasi perbezaan individu terhadap pengajaran-pembelajaran
Faktor-faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi perkembangan manusia melahirkan murid yang berbeza dari segi jasmani, intelek, emosi dan sosial di antara satu yang lain. Ini bermakna, setiap murid di dalam bilik darjah adalah unik dan berbeza di antara satu sama lain.
Oleh itu, guru harus merancang aktiviti pengajaran-pembelajaran mengikut perbezaan potensi individu. Sehubungan ini, guru harus menggunakan strategi dan pendekatan yang sesuai seperti aktiviti kumpulan, pemulihan, pengayaan dan sebagainya untuk melayan murid yang berbeza dari aspek jasmani, intelek, emosi dan sosialnya.
Mengikut kajian pakar-pakar pendidikan, kanak-kanak pada kesuluruhannya mempunyai daya intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa dengan sepenuhnya.


Mereka kurang mampu membuat keputusan diri sendiri dan kurang memahami konsep yang abstrak. Oleh itu, ramai murid menghadapi masalah dalam aktiviti pembelajaran mereka. Untuk membantu murid-murid ini mengatasi masalah pembelajaran mereka, program pemulihan merupakan satu-satunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.
Murid-murid di dalam sesebuah kelas berbeza dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi, pengalaman, minat, bakat dan sebagainya. Oleh yang demikian, kadar keupayaan mereka belajar juga berbeza.
Di dalam sesebuah kelas yang mengandungi ramai murid, perbezaan-perbezaan ini sememangnya tidak dapat diberi perhatian dan dilayani oleh guru secara sepenuhnya. Tambahan pula, untuk menghabiskan sukatan pelajaran yang begitu berat, guru terpaksa menggunakan kaedah seluruh kelas dalam aktiviti pengajaran mereka.
Dalam keadaan ini, murid-murid yang mempunyai kebolehan belajar yang rendah tentu tidak boleh mengikuti apa yang diajarkan oleh guru. Akibatnya, murid-murid ini ketinggalan di belakang kerana tidak dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas yang ditentukan.
Dalam situasi ini, program pemulihan hendaklah disediakan serta merta supaya masalah-masalah pembelajaran tidak berhimpun hingga ke peringkat yang tidak dapat dipulihkan lagi.

Murid-murid yang lemah dalam pelajaran sememangnya memerlukan perhatian dan bimbingan guru semasa menjalani aktiviti pembelajaran dan membuat kerja bertulis.
Murid-murid dalam golongan ini biasanya kurang bermotivasi untuk belajar, tidak tahu cara belajar, termasuk cara menyelesaikan masalah, di samping tidak berdisiplin semasa belajar. Mereka juga mudah terganggu dan mudah berputus asa.
Mereka biasanya kurang cerdas, lambat berfikir dan bertindak, serta cepat lupa kemahiran atau fakta yang baru dipelajari. Murid-murid ini memang memerlukan banyak perhatian dan bimbingan guru, sama ada secara kumpulan kecil atau secara individu.
Justeru itu, program pemulihan haruslah disediakan untuk membantu mereka mengatasi masalah pembelajaran yang mereka hadapi.
Dalam menangani perbezaan individu ini, pelbagai strategi pendidikan diadakan yang mana akan disambung minggu hadapan dalam siri kedua.