(SIRI AKHIR)
Konsep perbezaan individu
PERBEZAAN individu adalah diertikan sebagai ketidaksamaan dalam aspek perkembangan secara fizikal, mental, emosi dan sosial di kalangan individu.
Menurut Dictionary of Psychology, perbezaan individu ini dihuraikan sebagai ‘variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulan, sama ada sifat-sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial, bakat dan lain-lain aspek yang mungkin terdapat di kalangan individu dalam sesuatu kumpulan’.
Huraian ini dengan jelas menyatakan bahawa setiap individu adalah unik dan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, walaupun teori-teori perkembangan individu disarankan mengikut prinsip-prinsip tertentu.
Strategi menangani perbezaan individu
Dalam menangani perbezaan individu ini, pelbagai strategi perlu diambil oleh guru.
Guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kepada kebolehan dan perbezaan murid. Antaranya adalah menggunakan kaedah kumpulan.



Sehubungan dengan kaedah ini, murid-murid akan dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan cerdas, kumpulan sederhana dan kumpulan lambat.
Oleh kerana kumpulan lambat ialah kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang selalu menghadapi masalah pembelajaran, mereka haruslah diberikan pendidikan pemulihan, selain aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara kelas.
Murid-murid kumpulan cerdas dan sederhana biasanya boleh menguasai kemahiran asas dengan mudah.
Justeru itu, semasa kumpulan lambat menjalani aktiviti pemulihan, kumpulan-kumpulan cerdas dan sederhana boleh menjalani aktiviti pengayaan.
Selepas murid-murid kumpulan lambat menjalani aktiviti pemulihan, mereka akan dinilai semula.
Bagi murid-murid yang telah berjaya dalam program pemulihan itu, mereka akan diberikan progam pengayaan atau terus belajar kemahiran baru seperti dengan kumpulan cerdas dan sederhana.
Bagi murid-murid yang masih belum berjaya menguasai kemahiran itu, mereka akan ditempatkan dalam satu kelas khas dan diberikan satu program pemulihan khusus yang disediakan oleh seorang guru pemulihan.
Semua program pemulihan adalah tertumpu kepada kumpulan kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira. Pendidikan pemulihan juga diutamakan. Untuk mencapai matlamat ini, program pendidikan haruslah mengambil kira perbezaan setiap pelajar di sekolah menengah.



Pada tahun 1988, Kementerian Pendidikan Malaysia menyarankan bahawa guru harus mencungkil dan memperkembang bakat dan kebolehan pelajar berdasarkan perbezaan dari aspek kebolehan, latar belakang, bakat, minat dan kesediaan menerima pelajaran.
Di samping itu, guru-guru di peringkat sekolah menengah pula diharapkan menyediakan program pemulihan bagi murid yang masih belum memahami pengajaran yang telah disampaikan oleh guru, dan program pengayaan bagi murid yang sudah menguasai pengetahuan atau kemahiran yang diajarkan.
Aktiviti pemulihan biasanya akan dikendalikan oleh guru biasa, sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah.
Murid-murid yang diberikan program pemulihan adalah murid-murid yang gagal menguasai satu-satu kemahiran dalam masa yang tertentu.
Setiap program pemulihan harus diikuti dengan aktiviti penilaian untuk menentukan kejayaan atau kegagalan program itu.
Bagi kes-kes yang tidak dapat diatasi oleh guru biasa hendaklah diserahkan kepada guru khas untuk melaksanakan program pemulihan selanjutnya.