BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Dalam usaha mencapai wawasannya dan Wawasan Brunei 2035, Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) mengadakan Latihan bagi Pelatih (TfT) untuk memberikan pendedahan mengenai program-program di luar sekolah bagi meningkatkan lagi kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, menyelesaikan masalah dan kreativiti.
TfT kali ini mengetengahkan format baru dan menganjurkan program pertama seumpamanya dinamakan ‘Star Youth Baker’ (SYB).
Program dimulakan dengan pelancaran yang disempurnakan oleh Naib Presiden KESAN, Awang Ahmad Marwan bin Haji Mohammad Taib pada majlis yang diadakan di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Dalam tempoh enam minggu, para peserta akan menjalani tiga peringkat program iaitu ‘Engage’, ‘Empower’ dan ‘Employ’.
Sepanjang program, para peserta akan belajar mengenai asas membuat pastri yang dipertunjukkan oleh pakar-pakar, mengambil bahagian dalam cabaran-cabaran, merancang masakan dan menghidangkan makanan untuk jemputan serta mendapatkan pengalaman bekerja sebagai pelatih di kedai-kedai roti tempatan.