WASHINGTON, 29 SEPT – Kebanyakan mereka yang menerima suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 hanya mengalami kesan sampingan yang ringan dan sederhana, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).
Dalam laporan yang dikeluarkan CDC semalam, lebih daripada 22,000 orang menerima dos penggalak yang berdaftar dengan sistem pengawasan persekutuan di antara 12 Ogos dan 19 September, iaitu ketika dos berkenaan pertama kali diberikan atas tujuan kecemasan oleh pihak berkuasa AS.
“Kekerapan dan jenis kesan sampingan adalah sama seperti yang dilihat selepas dos vaksin kedua dan kebanyakannya adalah ringan atau sederhana dan bersifat sekejap,” kata pengarah CDC Rochelle Walensky dalam taklimat media.
Reaksi dos ketiga bagi suntikan Moderna dan Pfizer-BioNTech pula adalah konsisten seperti yang dinyatakan selepas suntikan kedua.
Secara keseluruhan, 71 peratus daripada mereka dilaporkan mengadu ke-sakitan di pusat suntikan dengan 56 peratus daripadanya mengalami keletihan serta 43 peratus lagi mengalami pening kepala apabila menerima suntikan ketiga Vaksin RNA messenger (mRNA).
Pihak berkuasa memilih suntikan dos ketiga yang dihasilkan Pfizer-BioNTech serta Moderna bulan lalu apabila data mempamerkan bahawa penerima transplan dan mereka yang kekurangan sistem imum tidak memadai dengan dua suntikan sahaja.
Minggu lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) juga meluluskan dos ketiga Pfizer kepada kumpulan yang lebih luas, manakala penerima vaksin Moderna serta Johnson & Johnson juga akan diluluskan tidak lama lagi.– AFP
