Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesatuan Afrika seru tindakan segera ekoran krisis di Mali

    KIGALI, 10 NOV  – Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf kelmarin suarakan kebimbangan terhadap situasi keselamatan yang semakin merosot di Mali ekoran laporan bahawa kumpulan pengganas mengenakan sekatan hingga melumpuhkan, menghalang bekalan penting dan memburukkan lagi keadaan kemanusiaan rakyat awam, lapor Anadolu Ajansi.

    Dalam kenyataannya, Youssouf mengecam serangan berdarah yang mengorbankan orang awam tidak bersalah dan meningkatkan ketidakstabilan di wilayah yang terjejas. Beliau menegaskan solidaritinya dengan kerajaan dan rakyat Mali serta mengulangi komitmen teguh Kesatuan Afrika dalam menyokong keamanan, keselamatan dan pembangunan di seluruh rantau Sahel.

    Youssouf turut mengecam kejadian penculikan baru-baru ini, termasuk penculikan tiga warga Mesir dan menggesa supaya mereka dibebaskan serta-merta tanpa syarat. Beliau berkata perbuatan sedemikian merupakan pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Beliau juga menyeru agar tindakan antarabangsa yang tegas, terselaras dan menyeluruh bagi menentang keganasan dan ekstremisme ganas di Sahel. Beliau menggesa supaya kerjasama, perkongsian risikan serta sokongan berterusan kepada negara-negara yang terjejas di rantau itu dipertingkatkan.

    Youssouf menegaskan kesediaan penuh Kesatuan Afrika untuk membantu Mali serta negara-negara lain di Sahel dalam usaha mereka mencapai keamanan dan kestabilan.

    Keganasan yang semakin meningkat oleh militan yang dikaitkan dengan kumpulan Daesh di Mali telah memaksa kerajaan menutup sekolah dan universiti di tengah-tengah krisis tenaga, kemanusiaan dan keselamatan.

    Susulan krisis itu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis menasihatkan rakyat masing-masing meninggalkan Mali serta memberi amaran agar tidak melakukan perjalanan ke negara Afrika Barat itu. – Bernama/Anadolu

    Antara pelarian dari Mali di sempadan Fassale pada 4 November. Kesatuan Afrika seru tindakan segera.  – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda