Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesedaran sivik, patriotik dititikberatkan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Bagi memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif, Jabatan Penerangan telah mengadakan Program Rakan Remaja Penerangan di Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, Kampung Sungai Kebun, Mukim Lumapas.

    Program berkenaan merupakan program persembahan khusus bagi peringkat remaja terutama pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat dan kegiatan semasa selain untuk mendekati golongan belia melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin.

    Hadir selaku tetamu kehormat program anjuran Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan berkenaan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar. Turut hadir ialah guru-guru dan kakitangan serta penuntut sekolah berkenaan.

    Objektif program tersebut adalah untuk mendekati remaja di sekolah-sekolah supaya peka dengan perkembangan dan hal ehwal sekeliling mereka. menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial serta menjadikan mereka sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

    Pemangku Pengarah Penerangan bergambar ramai bersama para penuntut dan tenaga pengajar SM Awang Semaun.
    Persembahan lawak jenaka dan kuiz kenegaraan turut menyerikan Program Rakan Remaja Penerangan.

    Program yang dihadiri oleh 134 pelajar Tahun 9 dan 143 pelajar Tahun 10 itu dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan Lagu Patriotik Bendera Negara’. Acara diberkati dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diteruskan dengan ucapan Pengetua SM Awang Semaun, Dayang Siti Marienah binti Haji Umar,.

    Selain itu, taklimat bertajuk ‘Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Awang Mohammad Nur Akram bin Noraini@Bahrin.

    Program tersebut juga diserikan dengan persembahan nyanyian, klip video ‘Kibarkan Bendera Negara Kitani’ dan animasi ‘Tatacara Mengibarkan Bendera’ dan persembahan tausyeh serta tayangan klip video oleh pelajar sekolah tersebut.

    Di samping itu, para pelajar juga dihiburkan dengan lawak jenaka dan kuiz yang disampaikan oleh para pelawak undangan tanah air dengan hadiah-hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda