Oleh Emalin Zalani –
Pernahkah awda berasa begitu sedih, bukan sekadar seketika, tetapi berlarutan sehingga perkara paling kecil pun terasa berat?
Awda bangun pagi dengan keletihan, tanpa semangat dan tidak pasti bila perasaan itu akan berakhir.
Hari demi hari, ia berlarutan.
Pada satu tahap, awda mula terasa seperti bukan diri awda sendiri.
Menurut Pakar Psikiatri Am di Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Dr Choy Seng Kit, kesedihan ialah emosi semula jadi manusia, namun ia tidak sama dengan kemurungan.


“Terdapat tiga perbezaan utama yang membezakan antara kesedihan biasa dan kemurungan,” jelasnya.
“Fikirkan tentang peristiwa baru-baru ini yang membuat awda sedih, mungkin kehilangan seseorang, perubahan besar atau tiada sebab yang jelas sekali pun.”
“Kesedihan, katanya, biasanya hanya disertai dengan beberapa gejala.
“Awda mungkin berasa murung atau hilang selera makan, tetapi awda masih boleh menikmati detik kegembiraan.
“Ia bersifat sementara, mungkin berlangsung beberapa jam atau hari dan awda masih mampu menjalani rutin harian seperti belajar, bekerja atau melakukan kerja rumah,” kata Dr Choy.
Namun, kemurungan jauh lebih mendalam dan kompleks.
“Kesedihan dalam kemurungan bersifat berterusan dan amat membebankan serta individu yang terjejas sering mendapati sukar untuk merasai kegembiraan.
“Keadaan ini biasanya berlanjutan sekurang-kurangnya dua minggu, malah boleh lebih lama dan menyebabkan tekanan emosi serta gangguan fungsi kehidupan.
“Orang yang mengalaminya mungkin hilang minat terhadap hobi, sukar berfungsi dan tidak bermotivasi untuk belajar atau bekerja,” jelas Dr Choy ketika bercakap dalam bengkel StarLive bertajuk Behind the Smile: Discover the Hidden Reality of Depression.
Apabila memikirkan tentang kemurungan, kebanyakan orang membayangkan seseorang yang kelihatan sedih, menyendiri atau tidak mampu bangun dari katil.
Namun, ada satu bentuk lain, kemurungan tersenyum (smiling depression) di mana individu menyembunyikan kesedihan di sebalik wajah yang ceria.
Dr Choy menerangkan, “Ia boleh jadi seorang ibu yang ketawa bersama anaknya walaupun hatinya penat; rakan sekerja yang kelihatan ceria dalam mesyuarat tetapi menatap kosong skrin komputer selepas itu; atau pelajar yang berkata, ‘Saya okey,’ sambil tenggelam dalam kekosongan emosi yang tidak kelihatan.”
STIGMA MASIH WUJUD
Malaysia hanya mempunyai sekitar 500 pakar psikiatri dan jumlah yang hampir sama bagi pakar psikologi klinikal iaitu kira-kira seorang pakar bagi setiap 65,000 orang.
Walaupun jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun, ia masih jauh di bawah nisbah disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu seorang bagi setiap 10,000 penduduk di negara maju.
Namun menurut Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj, masalah yang lebih besar bukanlah kekurangan pakar tetapi hakikat bahawa ramai masih enggan mendapatkan bantuan.
“Budaya kita di Malaysia dan rantau ini masih membawa stigma berat terhadap penyakit mental dan stigma ini mempengaruhi cara kita mendekati kesihatan mental,” katanya.
Prof Andrew menjelaskan bahawa ramai rakyat Malaysia masih memilih untuk berjumpa sinseh, sami atau bomoh sebelum berunding dengan psikiatri atau pakar psikologi.
“Kami sering menjadi pilihan terakhir mereka,” katanya.
“Ada yang telah membelanjakan RM20,000 untuk rawatan alternatif, tetapi apabila diberitahu sesi psikiatri berharga RM300, mereka terkejut, ‘Mahalnya, hanya untuk 15 minit?’”
Reaksi ini, jelasnya, mencerminkan salah faham mendalam terhadap rawatan kesihatan mental.
“Dan sebenarnya, kita tidak boleh menya-lahkan mereka sepenuhnya. “Ramai yang takut dilabel ‘gila’ hanya kerana mencari bantuan.
“Ketakutan terhadap penilaian dan diskriminasi ini antara halangan terbesar yang perlu kita tangani bersama,” ujarnya.
MENEMUKAN KETENANGAN DALAM DIRI
Ahli psikologi klinikal dan pensyarah kanan di HELP Education Group, Puvessha Jegathisan, memperkenalkan salah satu terapi berasaskan bukti paling meluas digunakan dalam psikologi klinikal: Cognitive Behavioural Therapy (CBT).
CBT memberi tumpuan kepada hubungan antara pemikiran, emosi dan tingkah laku.
Puvessha menerangkan bagaimana pemikiran negatif seperti ‘Saya tidak berguna’ boleh mencetuskan kesedihan dan rasa putus asa, yang seterusnya membawa kepada pengunduran diri dan kehilangan motivasi, satu kitaran yang memperdalam kemurungan.
Melalui CBT, ahli terapi membantu individu mengenal pasti dan mencabar pemikiran yang tidak membantu, memahami emosi mereka dan mengamalkan tingkah laku yang lebih sihat.
“Matlamatnya adalah membantu individu kembali terlibat dalam kehidupan, membina semula motivasi dan memperoleh semula kawalan diri,” katanya.
Ketika sesi berlangsung, Puvessha menggalakkan peserta mengenang dua perkara kecil yang menggembirakan mereka pada hari sebelumnya.
“Walaupun hanya detik singkat, ia tetap penting,” katanya.
“Amalan ini membantu minda memberi tumpuan kepada perkara positif dan menge-kalkan perspektif apabila berdepan cabaran.”
Beliau turut memperkenalkan amalan mindfulness iaitu kesedaran penuh terhadap masa kini.
“Bagi mereka yang berdepan kemurungan atau kebimbangan, mindfulness mengelakkan minda daripada terperangkap pada masa lalu atau masa depan,” jelasnya.
“Berfikir tentang masa lalu membawa rasa bersalah atau sedih, manakala memikirkan masa depan menimbulkan kebimbangan.
“Kekal berpijak pada saat ini membantu menenangkan fikiran.”
Mindfulness, katanya, boleh dilakukan dengan mudah seperti menumpukan perhatian kepada deria: mendengar, melihat, menghidu, menyentuh atau merasa.
“Apabila awda memejam mata dan menumpukan pada bunyi di sekeliling, fikiran awda tidak lagi terikat pada kebimbangan.
“Itulah mindfulness, hidup dalam masa kini,” katanya.
Akhir sekali, Puvessha menekankan kepen-tingan hubungan dan mencari bantuan.
“Tidak mudah untuk mengaku, ‘Saya sedang bergelut,’ tetapi bercakap dengan seseorang yang dipercayai boleh membawa perbezaan besar.
“Kekal berhubung walaupun kemurungan membuat awda ingin menyendiri.
“Dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan daripada ahli psikologi, kaunselor atau psikiatri.
“Mencari bantuan bukan tanda kelemahan, tetapi keberanian,” katanya.
Puvessha turut menjelaskan bahawa kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat.
“Ada kalanya sukar untuk membezakannya, kedua-duanya saling melengkapi.
“Apabila seseorang datang dengan masalah mental, kami perlu menilai kemungkinan punca fizikal juga.
“Begitu juga, apabila pesakit hadir dengan simptom fizikal, doktor sepatutnya mempertimbangkan faktor mental,” katanya.
Selepas ceramah, sesi soal jawab membolehkan peserta berkongsi pengalaman peribadi, mengemukakan soalan dan membincangkan salah faham berkaitan kesihatan mental.
KEKUATAN MELALUI PERKONGSIAN PENGALAMAN
Bagi pegawai kerajaan, Ibrahim Hussein, 44 tahun, yang telah hidup dengan kanser tahap tiga selama tiga tahun, pengalaman itu mengajarnya bahawa berasa sedih kadangkala adalah lumrah manusia.
“Adalah normal untuk berasa murung sekali-sekala,” katanya.
“Tetapi dengan pengetahuan dan kaedah mengatasi yang betul, kita boleh mengurangkannya.”
Ibrahim, yang bertanggungjawab terhadap kesihatan mental banduan di Negeri Sembilan, berkata ramai penghuni penjara dengan masalah mental yang tidak dirawat telah sampai ke tahap kritikal.
“Sebab itu saya hadir ke sini, untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental, terutama apabila jumlah kes semakin meningkat,” katanya.
Beliau percaya pendidikan dan dialog terbuka adalah kunci perubahan.
“Penting untuk kita memahami kesihatan mental dengan lebih baik dan saya bercadang berkongsi apa yang saya pelajari bersama rakan sekerja untuk memperluaskan kesedaran ini.”
Bagi pentadbir Tan Shin Mei, 29 tahun, beliau menghadiri bengkel tersebut kerana percaya ramai di sekelilingnya mungkin berjuang dalam diam dengan kemurungan.
“Mereka mungkin mengalami kemurungan, tetapi enggan mengakuinya,” katanya.
“Itu membuatkan saya ingin belajar cara membantu mereka.”
Tan berkata, melalui sesi itu, beliau sedar bahawa menyokong seseorang yang mengalami kemurungan juga boleh memberi kesan kepada emosi diri sendiri.
“Apabila kita berbicara dengan mereka yang sedang bergelut, kita sendiri boleh terpengaruh secara emosi,” katanya.
Sementara itu, bagi Adriene Teh, 60 tahun, yang menjaga ibunya yang sudah lanjut usia, pengalaman tersebut sangat mencabar secara emosi.
“Menjadi penjaga sepenuh masa boleh menjadi sangat meletihkan dan menekan,” katanya.
“Saya sentiasa peka terhadap kesihatan mental saya, tetapi dalam masa yang sama risaukan ibu saya, yang menambah tekanan itu.
“Ada kalanya saya mudah tersinggung apabila sesuatu mencetuskan emosi saya,” tambahnya.
Bengkel ini memberikan panduan praktikal, bukan sahaja kepada mereka yang mengalami kemurungan, tetapi juga kepada penjaga dan rakan.
“Petua umum yang dikongsikan sangat berguna seperti mendengar, menikmati detik kecil dan mengamalkan mindfulness.
“Langkah kecil seperti itu boleh membawa perubahan besar,” kata Teh.
Peserta tertua, Rashid Esoofi, 87 tahun, menghadiri bengkel StarLive ini buat kali kedua bersama isterinya.
Katanya, “Orang sering fikir mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental terpisah daripada masyarakat.
“Tetapi sesi hari ini mengajar saya bahawa mereka sebenarnya memerlukan perhatian dan pemahaman, bukan pengasingan.
“Program seperti ini sangat baik untuk mengingatkan kita agar menyertakan mereka, bukan mengetepikan mereka.”
Prof Andrew menutup sesi dengan berkata, “Tidak ada apa yang perlu dimalukan.
“Kemurungan adalah keadaan seperti penyakit fizikal lain, biasa berlaku, malah sering lebih mudah dirawat.
“Menormalkan perbualan tentang kesihatan mental membantu memecahkan stigma dan menggalakkan orang mencari bantuan.
“Semakin kita berbicara mengenainya, semakin dekat kita ke arah masyarakat yang benar-benar menyokong mereka yang sedang berjuang.” – ANN/The Star

