Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesejahteraan mental komponen penting dalam kesihatan awam

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Negara Brunei Darussalam mengiktiraf kesihatan mental sebagai komponen utama dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), satu pendekatan yang lebih menyeluruh dan progresif berbanding banyak negara lain yang masih memisahkan kesihatan mental dari dasar NCD mereka.

    “Ini membuktikan komitmen negara dalam membina kesejahteraan yang holistik, bukan sahaja daripada segi fizikal, tetapi juga emosi dan kerohanian,” tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perbahasan bagi usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan semasa Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

     Yang Berhormat Dato menekankan dalam memperkukuh sistem secara menyeluruh, perhatian juga diberikan kepada kesejahteraan mental.

    Gambar hiasan Canva

    Kesihatan mental, tambahnya, kini diangkat sebagai komponen penting dalam kesihatan awam.

     Perkhidmatan seperti Talian Harapan 145 yang beroperasi sepanjang masa menjadi saluran sokongan utama kepada individu yang memerlukan bantuan segera.

     “Sementara itu, program-program intervensi seperti Brunei Bebas Buli dan I-Mind dilaksanakan di sekolah dan tempat kerja sebagai usaha pencegahan dan pendidikan,” tekannya sambil menyatakan pendekatan berkenaan mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap aspek mental dan sosial rakyat.

     Terdahulu Yang Berhormat Dato menyatakan kesihatan bukan sekadar tidak sakit, ia merupakan tunjang kepada kehidupan yang lebih bermakna, produktif dan sejahtera.

     Dalam hubungan itu, Kementerian Kesihatan menzahirkan komitmen penuh dalam memastikan setiap strategi, pelaburan dan inisiatif menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.

     Di bawah pelaksanaan wawasan berkenaan, beliau menyatakan Kementerian Kesihatan bertanggungjawab terhadap tiga Petunjuk Prestasi Utama Kebangsaan iaitu peningkatan jangka hayat, pengurangan kadar kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit dan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kesihatan.

     “Ketiga-tiga petunjuk ini mencerminkan tahap kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

     “Walaupun petunjuk tersebut penting, kesihatan sebenarnya memainkan peranan yang lebih besar sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan kualiti hidup,” tekannya.

     Yang Berhormat Dato turut mengongsi hasil menggalakkan daripada usaha yang dilaksanakan di mana berdasarkan dapatan terkini Kaji Selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan 2022-2023 (NHANSS-3), kadar merokok dalam kalangan penduduk telah menunjukkan penurunan sebanyak 19.9 peratus kepada 13.4 peratus dalam kalangan orang dewasa.

    Manakala penyertaan penduduk dalam aktiviti fizikal semakin meningkat sebanyak 8.4 peratus dengan peningkatan itu melebihi sasaran negara dan juga petunjuk global.

     “Ini mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan gaya hidup sihat semakin kukuh, hasil daripada kempen kesihatan awam, pendidikan kesihatan dan sokongan dasar yang konsisten.”

    Beliau seterusnya menyatakan kesemua pencapaian itu menunjukkan bahawa Brunei berada di landasan yang tepat ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk membentuk sebuah masyarakat yang sihat, berpengetahuan dan berdaya tahan.

    Dengan asas yang kukuh itu, tegasnya, Kementerian Kesihatan yakin dapat terus memacu transformasi sistem kesihatan negara supaya seiring dengan keperluan masa hadapan dan setanding dengan piawaian antarabangsa.

    Memandang ke hadapan, sektor kesihatan perlu kekal adaptif dan berdaya tahan dengan cabaran masa depan seperti peningkatan golongan warga emas, perubahan iklim, ancaman wabak global dan peningkatan penyakit tidak berjangkit memerlukan dasar yang lebih holistik dan fleksibel.

    “Kajian semula dasar sedang dilaksanakan agar sektor kesihatan kekal tangkas, efisien dan relevan.

    “Selain itu, pendekatan berasaskan bukti dan data akan terus menjadi teras dalam perancangan dasar dan penyampaian perkhidmatan.” jelasnya lagi.                                 

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda