Saturday, February 8, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesejahteraan ummah aspek penting dalam kehidupan seharian

    Oleh Hajah Saemah Kepli & Yusrin Junaidi

     

    KUALA BELAIT, 2 Nov – Agama Islam amat mementingkan kesejahteraan ummah sama ada di dunia mahupun akhirat dan setiap orang Islam dituntut dari sejak lahir ke dunia hinggalah meninggalkan dunia ini dengan bekerja keras untuk mendapatkannya.

    Kesejahteraan ummah merupakan aspek yang amat penting dalam kehidupan seharian yang perlu dijaga, tidak kiralah sama ada kesejahteraan diri ataupun alam sekitar maka dengan itu kesihatan diri pun terjamin dan akan hidup dalam suasana aman, tenteram dan harmoni.

    Perkara itu antara lain yang ditekankan dalam tazkirah Program Keagamaan Senegara bagi bulan November di Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara (PJN) Pengiran Haji Abu Bakar Mumong, hari ini, yang disampaikan oleh Awang Mohd Syiful Faizal bin Anggas.

    Program bulan ini yang bertema ‘Bersama Menjaga Kesejahteraan Ummah’ turut mengingatkan bahawa empat faktor yang dapat memelihara dan mengekalkan kesejahteraan sesebuah masyarakat iaitu menjamin kehidupan yang harmoni, menjadikan umat Islam umat yang dihormati dan disegani bangsa lain, memberi keselesaan untuk beribadat kepada Allah tanpa dibayangi perasaan takut dan bimbang dan merealisasikan objektif Agama Islam iaitu sebagai rahmat kepada seluruh alam, sama ada manusia dan juga makhluk lain.

    Melalui program ini juga memberikan gambaran kepada model yang mesti dicontohi dalam mempromosikan nilai kesejahteraan ialah amalan Nabi Muhammad S.A.W, setiap prinsip yang diamalkan oleh Baginda dalam menyelesaikan segala permasalahan masyarakat Islam ialah ke arah keamanan dan kesejahteraan.

    Pelajar Darjah 4 hingga 6 Sekolah Ugama PJN Pengiran Haji Abu Bakar Mumong yang menyertai program tersebut untuk bulan ini.
    Tazkirah Program Keagamaan Senegara bagi bulan November di Daerah Belait disampaikan oleh Awang Mohd Syiful Faizal.

    Cara mencapai kesejahteraan yang dianjurkan oleh Islam adalah setiap individu mestilah mentaati pemerintah raja, tidak mengambil hak orang lain, amanah dalam menjalankan tugas dan berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

    Sehubungan dengan itu masyarakat hendaklah sama-sama mematuhi peraturan, saling tolong-menolong, menghindari fitnah serta saling hormat-menghormati tanpa mengira batasan agama dan bangsa.

    Lebih 100 orang pelajar Darjah 4 hingga 6 Sekolah Ugama PJN Pengiran Haji Abu Bakar telah menyertai program tersebut untuk bulan ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan. Hadir sama ialah Guru Besar Sekolah Ugama PJN Pengiran Haji Abu Bakar, Dayang Rina binti Haji Talip dan Pembantu Pegawai Pengajian Islam, Pengiran Adi Yura bin Pengiran Mohammad.

    Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama itu diadakan di keempat-empat daerah yang mana dagi Daerah Brunei dan Muara ia diadakan di Sekolah Ugama Pulaie; Daerah Tutong di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain; Daerah Belait di Sekolah Ugama PJN Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong dan Daerah Temburong diadakan di Sekolah Ugama Puni.

    Ia bermula jam 8 pagi bagi semua sekolah agama sesi pagi dan jam 2 petang bagi semua sekolah agama sesi petang.

    Selain tazkirah, program juga diisikan dengan membaca Surah Luqman, Doa Peperiksaan serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda