COPENHAGEN, 4 JAN – Suhu yang sangat sejuk ditambah lagi dengan angin kencang dan salji mendatangkan bencana di seluruh wilayah Nordic hari ini, menyebabkan beribu-ribu orang terputus bekalan elektrik manakala yang lain menahan kesejukan selama berjam-jam di dalam kereta mereka di sepanjang lebuh raya yang sesak.
Hujan lebat di Jerman, Perancis dan Belanda sekali lagi menyebabkan banjir di wilayah yang telah mengalami banjir berterusan dalam dua minggu terakhir. Satu kematian dilaporkan di Perancis.
Keadaan beku ekstrem telah mengganggu pengangkutan di seluruh wilayah Nordic di tengah-tengah laporan tentang gangguan lalu lintas berikutan penutupan bahagian lebuh raya dan jalan utama. Masalah dengan perkhidmatan kereta api juga telah dilaporkan.
Bekalan elektrik terputus kepada kira-kira 4,000 rumah di utara Sweden di mana suhu menjunam hingga minus 38 darjah Celsius, menurut radio awam Sweden. Di bahagian selatan negara itu, pemandu kenderaan terperangkap di dalam kereta mereka atau dipindahkan ke kompleks sukan berhampiran di mana mereka bermalam. – AP
