TORONTO – Kejadian pendaratan terhempas pesawat Delta Air Lines di Toronto baru-baru ini menyerlahkan potensi bahaya apabila membawa anak kecil yang duduk di pangkuan orang dewasa.
Pesawat itu terbalik, yang pastinya akan menyukarkan untuk memegang anak damit dengan selamat. Pihak berkuasa belum menyatakan sama ada anak berumur 18 bulan yang cedera itu berada di pangkuan ibu bapa.
Walaupun kesemua 21 orang yang cedera telah dibenarkan keluar dari hospital, terdapat kes di mana kanak-kanak kecil telah kehilangan nyawa dalam kemalangan sebelum ini.
Walaupun kemalangan penerbangan masih jarang berlaku, risiko kecederaan kepada kanak-kanak adalah tinggi sekiranya mereka berada di pangkuan semasa pesawat menghadapi gelombang udara.
Pakar-pakar bersetuju adalah lebih selamat untuk kanak-kanak di bawah dua tahun mempunyai tempat duduk sendiri dan menggunakan kerusi kereta yang diluluskan semasa terbang, walaupun keluarga terpaksa membayar untuk tiket tambahan.
Namun, anak damit masih dibenarkan untuk duduk di pangkuan, menyebabkan ibu bapa terus melakukannya walaupun terdapat risiko.
Bekas pramugari, Jan Brown, yang terpaksa melihat seorang ibu berduka setelah kehilangan anak lelakinya yang berumur 22 bulan ketika pesawat mereka terhempas dan terpecah beberapa bahagian berhampiran Sioux City, Iowa, pada tahun 1989, berkata:
“Yang paling menyedihkan ialah kebanyakan keluarga yang mengembara bersama anak di pangkuan berfikir bahawa kerana ia dibenarkan, ia selamat.”
Brown menghentikan ibu tersebut daripada memanjat kembali ke dalam bangkai pesawat United Flight 232 yang telah terbalik di dalam ladang jagung.
“Saya memberitahunya apa yang saya fikir akan menghentikannya: bahawa pasukan penyelamat akan menjumpainya.
“Dan dia hanya menatap saya dan berkata, ‘Awda kata saya letakkan anak damit saya di lantai. Saya buat begitu. Dan dia sudah tiada.’ Pada saat itulah saya menjadi penyokong penggunaan kerusi keselamatan untuk anak,” katanya.
Daripada empat anak yang berada di pangkuan di dalam pesawat itu, tiga telah cedera dan anak lelaki wanita itu adalah antara 112 orang yang kehilangan nyawa.
Seorang anak damit lelaki berumur enam bulan yang mengembara di pangkuan ibu bapa telah terkorban pada tahun 2012 apabila pesawat mendarat dengan kasar dan melanggar hujung landasan di Nunavut, Kanada.
Tahun lepas, tiga anak damit yang berada di pangkuan hampir tersedut keluar daripada pesawat Alaska Airlines apabila satu penutup pintu terbang terbuka di tengah penerbangan, namun tiada seorang pun yang berada cukup dekat dengan bukaan itu berisiko.
KERUSI KERETA UNTUK ANAK DAMIT
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dan rakan sekerjanya di Kanada, Lembaga Keselamatan Pengangkutan, telah lama mengesyorkan agar kanak-kanak kecil terbang hanya dalam kerusi keselamatan digunakan di kereta yang diluluskan untuk melindungi mereka.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) juga mengesyorkan penggunaan kerusi kereta tetapi tidak mewajibkannya walaupun terdapat tekanan daripada penyokong.
Selain daripada badan pengatur keselamatan ini, Akademi Pediatrik Amerika serta kebanyakan kumpulan perdagangan dan kesatuan industri penerbangan utama menyokong keperluan agar kanak-kanak kecil terbang dalam kerusi kereta yang diluluskan.
Penyiasat utama kemalangan di Amerika Syarikat dan Kanada mula mengesyorkan penggunaan kerusi kereta untuk kanak-kanak di bawah dua tahun dan sistem kekangan khas untuk kanak-kanak yang lebih tua sehingga mereka mencapai ketinggian 40 inci (102cm) selepas kemalangan maut yang berlaku beberapa dekad lalu.
NTSB, melalui ahli Tom Chapman, berkata, “Kita semua pernah berada dalam situasi apabila kita mempunyai anak kecil. Kita tidak mempunyai banyak wang. Kita cuba menjimatkan setiap sen. Dan jika kita boleh mengelak daripada membeli tiket tambahan, itu adalah reaksi yang boleh difahami sepenuhnya.
“Tetapi orang tidak faham risiko yang mereka tanggung terhadap anak mereka dengan tidak membeli tiket tambahan dan tidak mengikat mereka dengan betul.”
Bukan sahaja lebih selamat untuk kanak-kanak duduk di tempat duduk sendiri, tetapi ia juga lebih menyenangkan bagi ibu bapa yang tidak perlu memegang anak damit yang gelisah selama berjam-jam di dalam pesawat.
Pakarnya, Michelle Pratt, seorang ibu dan pengasas Safe in the Seat, berkata walaupun nampak menggoda untuk memilih pilihan ‘anak di pangkuan’, keluarga seharusnya mendapatkan tiket untuk semua. “(Harga tiket) anak damit awda mungkin lebih murah daripada kos bagasi daftar periksa. Mengapa tidak ambil kesempatan?” katanya.
SESETENGAH IBU BAPA TIDAK YAKIN
Terdapat sesetengah ibu bapa seperti Clare Ronning yang tidak yakin. Selepas mendarat di Burbank, California bersama suami dan anak damit perempuannya yang berumur lima bulan, beliau berkata tidak melihat keperluan untuk menggunakan kerusi kereta dalam pesawat.
“Saya sebenarnya tidak nampak perbezaannya, secara peribadi,” kata Ronning, yang telah membawa anak perempuannya dalam enam penerbangan. “Ia hanya nampak sebagai satu cara untuk menambah kos.”
Namun, Meredith Tobitsch tidak pernah membayangkan terbang tanpa tempat duduk untuk anak perempuannya yang berumur tiga tahun dan tidak akan melakukannya lagi dengan anaknya yang berumur 14 bulan, sama ada kerana kebimbangan keselamatan atau kepraktikalan.
“Jika berlaku gelombang udara, naluri semula jadi awda adalah melepaskan anak awda,” katanya, menambah bahawa anak sulungnya sentiasa tidur dengan lebih baik dalam kerusi keretanya, menjadikan penerbangan lebih menyenangkan.
“Jelas, ia menambah kos perjalanan udara bagi keluarga, tetapi ia adalah perkara keselamatan. Bagi kami, sekurang-kurangnya, kami bernasib baik kerana mampu melakukannya,” katanya.
FAA merujuk kepada satu kajian yang dilakukan pada tahun 1990an untuk membenarkan tidak mewajibkan keluarga membeli tiket bagi kanak-kanak di bawah dua tahun.
Rasionalnya ialah jika keluarga perlu membeli tiket tambahan, lebih ramai akan memilih untuk memandu dan bukannya terbang.
Memandu adalah lebih berisiko daripada terbang, jadi ini bermakna lebih ramai kanak-kanak mungkin kehilangan nyawa dalam kemalangan jalan raya berbanding yang dapat diselamatkan dalam penerbangan jika penggunaan kerusi kereta dan tiket berasingan diwajibkan.
Tom Chapman dari NTSB berpendapat logik tersebut agak dipaksakan dan kajian tersebut perlu dikaji semula, terutama memandangkan harga tiket penerbangan lebih mampu milik hari ini.
Namun, ibu bapa seperti Andrea Arredondo mencadangkan mungkin ada kebenarannya, dengan berkata dia mungkin akan mengurangkan perjalanan udara jika terpaksa membeli tiket dan membawa serta kerusi kereta untuk anak damit berumur empat bulan apabila mengembara bersama keluarganya dan dua anak yang lebih tua.
“Saya lebih cenderung untuk mengurangkan perjalanan udara kami daripada membawa kerusi kereta,” jelas Arredondo, menerangkan bahawa beliau dan suaminya sudah mempunyai kesibukan dengan tiga orang anak, tiga kerusi kereta yang mereka daftar, sebuah stroller, dan set mainan. – ANN/The Star