Langkah-langkah dan aspek keselamatan kanak-kanak di dalam kereta masih lagi dipandang remeh oleh sesetengah ibu bapa.
Saya sering menyaksikan anak-anak membuka tingkap atau mengeluarkan kepala mereka semasa kenderaan bergerak, tanpa diendahkan oleh ibu bapa mereka.
Lebih membimbangkan, ada juga kes di mana bapa atau ibu membawa anak kecil di pangkuan semasa memandu.
Tindakan sebegini bukan sahaja membahayakan diri dan anaknya, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kelancaran pemanduan pengguna jalan raya.
Kesedaran mengenai penggunaan tali pinggang keselamatan, kerusi keselamatan kanak-kanak atau sekurang-kurangnya memastikan anak berada dalam keadaan selamat sepatutnya menjadi keutamaan setiap ibu bapa.
Kesilapan sekelip mata boleh mengakibatkan kecederaan serius atau tragedi yang tidak diingini.
Sebagai masyarakat, kita juga perlu menasihati dan mengingatkan antara satu sama lain mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya. Bagaimanapun, sikap enggan menerima teguran sering menjadi masalah.
Pemandu prihatin










