Thursday, March 13, 2025
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselamatan anak di dalam kereta perlu diambil perhatian

    MUSIM percutian sekolah masih lagi berlangsung di negara ini. Ini bermakna jumlah kenderaan yang berada di atas jalan raya adalah tinggi dari hari-hari biasa, sama ada berkelah atau bercuti di dalam negara mahupun luar negara.

    Ini juga bermakna peningkatan jumlah kemalangan akan berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya.

    Jadi apakah langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan kemalangan? Di sini dikongsikan beberapa garis panduan untuk memastikan keselamatan anak-anak kita sewaktu dalam kenderaan untuk perjalanan dekat mahupun jauh.

    Sama seperti mana-mana negara di dunia ini, jumlah kematian kanak-kanak adalah cukup tinggi di dalam kemalangan. Punca utamanya adalah kerana ramai kanak-kanak tidak menggunakan talipinggang keledar ataupun talipinggang keledar yang tidak sesuai untuk kanak-kanak.

    Bagi kanak-kanak berusia sekitar 7 tahun ke bawah, penggunaan tempat duduk kanak-kanak adalah amat penting. Ini kerana kebanyakan tali pinggang keledar yang dilengkapkan pada sesebuah kenderaan adalah tidak sesuai untuk saiz badan dan ketinggian mereka. Tempat duduk kanak-kanak boleh menyelesaikan masalah ini.

    1-Harga yang terlalu mahal

    Ini merupakan alasan yang paling popular digunakan oleh para ibubapa. Namun apa yang didapati di pasaran, terdapat harga yang mampu milik dan mempunyai kualiti buatan yang cukup baik. Semestinya ia bergantung kepada model dan jenama.

    Malah ada juga harga yang begitu mahal. Ianya terpulang kepada kita. Namun ianya jauh lebih murah daripada telefon ataupun gajet berjenama yang digunakan oleh para ibu bapa pada masa ini, betul tak?

    2-Anak tidak mahu duduk atau tidak selesa

    Kanak-kanak perlu dibiasakan sebelum ia menjadi rutin. Mungkin pada peringkat permulaan anda boleh memberikannya permainan ataupun memasang rancangan kartun kegemaran mereka sewaktu dalam perjalanan.

    Bila ia menjadi kebiasaan, bukankah ia akan menjadi lebih mudah? Ingat! Lebih baik anak anda menangis demi keselamatan daripada anda menangis di kemudian hari.

    Keadaan merbahaya bagi kanak-kanak di dalam kenderaan

    Ruang dalam kenderaan boleh menjadi tempat yang merbahaya kepada kanak-kanak dan mereka tidak seharusnya dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa.

    Jika dibiarkan bersendirian dalam kereta:

    – Strok haba dan dehidrasi akan menimpa kanak-kanak. Suhu dalam kereta akan meningkat sehingga 40 darjah Celcius berbanding suhu di luar. Malah menurut kajian, suhu akan meningkat sebanyak 75 peratus hanya dalam masa lima minit.

    – Lebih memburukkan keadaan jika anda meninggalkan mancis ataupun lighter di dalam kereta.

    – Bermain dengan brek tangan kenderaan.

    – Menggunakan kuncian automatik yang menghalang orang dewasa memasuki kenderaan.

    – Tersepit di celah bukaan cermin tingkap.

    Kenapa ia cukup merbahaya?

    – Kanak-kanak lebih terjejas dengan strok haba dan dehidrasi berbanding orang dewasa.

    – Mereka tidak menyedari keadaan merbahaya apatah lagi untuk mengelaknya.

    – Mereka mudah bosan dan mahu bereksperimen dengan peralatan dalam kenderaan.

    – Ruang dalaman kereta sebenarnya mempunyai material yang sangat mudah terbakar.

    Nasihat keselamatan

    – Gunakan tempat duduk kanak-kanak dan pakaikan mereka dengan tali keledar sebaik mungkin. Jangan gunakan peralatan seperti tilam udara sewaktu kenderaan sedang bergerak. Itu sangat merbahaya.

    – Pastikan pintu berkunci untuk mengelakkan anak kecil bermain dengan pembuka pintu sewaktu kenderaan bergerak.

    – Jangan sesekali membiarkan anak-anak sendirian di dalam kenderaan walaupun untuk jangka masa yang singkat.

    – Terangkan kepada mereka langkah keselamatan dalam kenderaan secara berterusan. Sebaiknya anda sendiri menjadi contoh ikutan kepada mereka.

    – Jangan sesekali meninggalkan kunci penghidup di dalam kenderaan walaupun di garaj rumah anda sendiri. Pastikan kenderaan sentiasa berkunci untuk mengelakkan kanak-kanak memasukinya tanpa pengetahuan ibu bapa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda