Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselamatan empangan pemacu transformasi tenaga hijau, air Sarawak

    KUCHING, 5 NOV – Sarawak menjadikan keselamatan empangan sebagai pemacu utama dalam agenda transformasi tenaga hijau dan air di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID19 2030 (PCDS 2030), kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata pengurusan keselamatan empangan kini bukan lagi sekadar keperluan kejuruteraan, tetapi satu keperluan strategik yang menjadi asas kepada hala tuju pembangunan lestari negeri.

    “Masa hadapan keselamatan empangan tidak hanya dibina dengan konkrit dan keluli, tetapi melalui kerjasama, kepercayaan dan tanggungjawab bersama antara negara dan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME 2025), hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.

    Abang Johari berkata empangan yang selamat dan diurus dengan baik, menjadi nadi kepada peralihan Sarawak ke arah tenaga boleh diperbaharui dan ketahanan sumber air.

    Merujuk kepada Empangan Hidroelektrik Batang Ai, beliau berkata integrasi projek itu dengan Ladang Solar Terapung Batang Ai, membuktikan bagaimana sistem hibrid hidro-solar mampu mempelbagaikan penjanaan tenaga hijau tanpa memerlukan tanah baharu, mengoptimumkan penggunaan tanah serta mengurangkan penyejatan air dari empangan.

    Abang Johari berkata inisiatif sebegitu, turut menyokong keselamatan tenaga serantau dan selaras dengan visi Grid Tenaga ASEAN.

    “Paling penting, tenaga yang selamat, bersih dan boleh dipercayai ini bukan hanya untuk Sarawak… ia menjadi sumbangan kita kepada keselamatan tenaga serantau, sekali gus memajukan visi Grid Tenaga ASEAN,” katanya. – Bernama

    Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketiga mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan (ICDSME 2025), kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda