Wednesday, February 5, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselamatan lebih penting berbanding keuntungan

    KUALA LUMPUR – Keselamatan pendaki menjadi keutamaan berbanding keuntungan, menurut pengendali syarikat perkhidmatan jurupandu gunung Pasang Tendi Sherpa.

    Pendaki Nepal yang sudah 17 kali menawan puncak Everest itu berkata syarikatnya telah menolak 27 pelanggan yang ingin mendaki Gunung Everest selepas membuat penilaian berkaitan latihan dan pengalaman mereka.

    Beliau berkata tindakan itu kerana mengambil kira misi utama pendaki yang tidak hanya mahu sampai ke puncak tetapi memastikan me-reka pulang dengan selamat, bersedia dan sedar cabaran yang akan ditempuhi.

    “Menolak permohonan 27 pelanggan adalah kerugian besar bagi syarikat kami, tetapi keselamatan lebih diutamakan. Ramai orang berfikir bahawa jika mereka mempunyai banyak wang hari ini, mereka boleh merancang untuk mendaki Gunung Everest dalam tempoh beberapa bulan.

    “Itu tidak benar kerana mendaki Gunung Everest adalah komitmen besar. Ia adalah cabaran besar dan ia juga berisiko tinggi jika awda tidak bersedia dengan baik.

    Tendi Sherpa (dua dari kiri) pada sidang media bersama Rahda Krishnan (tengah), Mohd Yussainy (dua dari kanan) dan Malek (kanan) pada sidang media 14 Oktober lalu. – Bernama

    “Jadi, sangat penting bagi setiap pendaki yang ingin datang dan mendaki Gunung Everest bersedia dari segi mental, fizikal dan mereka harus mempunyai pengetahuan yang baik tentang aktiviti mendaki gunung.

    “Ini kerana saya telah melihat beberapa masalah pendaki di gunung, mereka yang tidak cukup latihan,” pendaki berusia 41 tahun itu pada sidang media anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dengan kerjasama Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL) di Wisma UFL.

    Berdasarkan pengalaman, Tendi menasihati bakal pendaki supaya menjalani latihan fizikal secukupnya dan membina pengalaman mendaki, bermula dengan gunung yang rendah seperti Gunung Kinabalu di Malaysia diikuti latihan di altitud lebih tinggi seperti puncak 6,000 meter (m) di Nepal.

    Beliau juga mengingatkan pendaki supaya menyertai kursus mendaki untuk mempelajari kemahiran penting seperti teknik menyelamat, pandu arah gunung dan kesedaran mengenai cuaca.

    “Di Malaysia hari ini, saya diberitahu terdapat banyak aktiviti mendaki dinding dan gimnasium dalam bangunan. Jadi, jika awda ingin mendaki gunung pada masa hadapan, awda harus mula mendaki di lokasi ini untuk mengenali peralatan mendaki, teknik dan awda berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

    Tendi yang dilahirkan di Kampung Saisima di Nepal adalah seorang pendaki berpengalaman, mendaki sejak berusia 13 tahun, dan telah menakluki lebih 20 gunung dengan ketinggian 6,000m di Banjaran Himalaya.

    Sementara itu, Pengarah Bahagian Forest Eco-Park & Hutan Taman Negeri Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Mohd Yussainy Mohd Yusop berkata pihaknya menyasarkan 2,000 Malim Gunung Perhutanan (MGP) ditauliahkan menjelang 2025.

    “Kita melihat keperluan meningkatkan kemahiran MGP bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi ada satu piawaian yang kita perlu patuhi, terima kasih kepada Tendi di bawah Persatuan Jurupandu Gunung Nepal yang juga sebahagian daripada Persekutuan Jurupandu Gunung Antarabangsa untuk memberi nasihat,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya telah menganjurkan Forest Trail Conservation, program membersihkan laluan pendakian di beberapa gunung di Semenanjung.

    “Kita mahu rakyat membantu jabatan mengekalkan laluan pendakian dalan hutan simpan. Kini, 18,000 penyertaan diterima pada program itu untuk memasang tali keselamatan, tangga, penanda arah dan sebagainya,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda