Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Keselamatan makanan tanggungjawab bersama’

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Industri makanan merupakan tulang belakang kepada sistem makanan dalam negara yang menghubungkan kemajuan saintifik dengan penghasilan dan penyediaan makanan yang diharapkan oleh pengguna setiap hari.

    Oleh itu, setiap pihak yang terlibat dalam industri makanan iaitu petani, pengimport makanan, pembuat makanan, operator perniagaan makanan, pengawalselia serta institusi pendidikan, diseru untuk bekerjasama menukarkan pengetahuan saintifik kepada impak dunia sebenar.

    “Sokong penyelidikan, membina sistem kawalan makanan kuat, melabur dalam pencegahan, mengguna pakai teknologi canggih bagi pengesanan awal risiko, melatih dan memperkasa pekerja awda dengan pengetahuan keselamatan makanan terkini, bekerjasama antara satu sama lain untuk menangani cabaran-cabaran yang muncul seperti kesan iklim atau bahan cemar baru serta mendengar kepada pengguna kerana keselamatan makan bukan statik, ia berubah dengan keperluan kita.”

    Seruan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab yang juga ahli Lembaga Pengarah Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) dalam ucapannya semasa Majlis Pembukaan Bengkel Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Terdahulu, beliau menerangkan bahawa Hari Keselamatan Makanan Sedunia merupakan kolaborasi di antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya keselamatan makanan dan mengingatkan orang ramai bahawa makanan yang selamat adalah amat penting bagi menjamin kesihatan yang baik.

    Ia juga bertujuan untuk menekankan bahawa keselamatan makanan merupakan tanggungjawab bersama di antara kerajaan, pengeluar dan pengguna di mana ia mengetengahkan peranan penting yang dimainkan oleh semua daripada pengeluaran pertanian kepada penggunaan, dalam memastikan bahawa makanan adalah selamat dan tidak memberikan sebarang risiko kesihatan.

    Dalam hubungan itu, tambahnya, tema tahun ini iaitu Food Safety: Science in Action, menekankan peranan penting yang dimainkan oleh sains dalam memastikan amalan makanan selamat.

    Kemajuan saintifik membolehkan pengesanan bahan cemar, meningkatkan amalan pertanian dan tindak balas proaktif kepada risiko yang baru muncul sebelum ia tiba ke meja makan.

    Hajah Tutiaty menekankan lagi bahawa sains sahaja adalah tidak memadai, ia harus diterjemahkan menjadi tindakan khusus di kalangan pihak berkepentingan industri makanan. Dalam hubungan itu, bengkel yang diadakan memberikan peluang kepada para peserta untuk memperoleh gambaran mengenai peranan yang dimainkan oleh pihak autoriti bertanggungjawab bagi keselamatan makanan di Brunei, memahami prosedur yang perlu diikuti bagi pensampelan makanan serta menghargai akan pentingnya tindakan kebolehkesanan dan penarikan semula makanan.

    Pada masa yang sama, beliau berkata bahawa para peserta bengkel mempunyai peranan penting membantu agensi-agensi kerajaan termasuk BDFA, mengenal pasti dan mengambil maklum tentang jurang serta cabaran yang dihadapi oleh operator perniagaan supaya dapat bersama-sama mencari penyelesaian.

    Hajah Tutiaty menyampaikn ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda