SINGAPURA, 26 SEPT – Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K. Shanmugam berkata polis meningkatkan rondaan di masjid dan memantau rapi keadaan selepas beberapa rumah ibadat Islam di negara itu menerima bungkusan mencurigakan berisi daging.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan dan sesiapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan tegas.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi. Kita tidak tahu siapa yang melakukannya, kita tidak tahu apa motifnya, tetapi setakat ini siri kejadian ini kelihatan hanya menyasarkan masjid… potongan daging dihantar.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang mampu untuk memastikan rumah ibadat kekal selamat,” katanya kepada media selepas melawat Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North kelmarin. Rakaman temu bual itu dimuat naik di halaman YouTube CNA.
Beliau menegaskan bahawa menyasarkan rumah ibadat adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima dan Singapura mempunyai toleransi sifar terhadap tindakan sedemikian. – Bernama


