Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Dalam menghadapi situasi pergolakan politik yang sedang melanda rantau Timur Tengah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ingin memaklumkan bahawa keadaan pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam yang sedang melanjutkan pengajian di Republik Arab Mesir dan Kerajaan Hasyimiah Jordan sentiasa diberi perhatian dan pemantauan rapi oleh kerajaan.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan para penuntut, khususnya mereka yang berada di luar negara dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu.
Sehubungan itu, KHEU memaklumkan bahawa kerjasama rapat sedang dijalinkan bersama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri melalui pihak Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Mesir dan Jordan untuk memantau perkembangan semasa secara berterusan serta memastikan kebajikan para pelajar terus terjaga.
Ibu bapa dan penjaga penuntut yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan anak-anak mereka boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Jabatan Pengajian Islam, KHEU, di alamat Blok 2J, Bilik 14:03, Jalan Ong Sum Ping atau melalui talian hotline 8230934 / 2231064 semasa waktu bekerja dan e-mel biasiswa@jpi.edu.bn
KHEU menyarankan agar para ibu bapa sentiasa berhubung dengan saluran rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini, dan mendoakan keselamatan semua penuntut Brunei yang sedang menimba ilmu di luar negara.


