Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Sebagai usaha berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan semasa menggunakan perahu, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) telah mengadakan Sesi Muzakarah di Hotel Brunei, di ibu negara, hari ini.
Pada sesi muzakarah yang dihadiri oleh para pengendali perahu-perahu tambang serta pengurus-pengurus perahu temuai dan pelancong itu, taklimat telah disampaikan oleh salah seorang pegawai PBMP.
Sesi muzakarah berkenaan bertujuan untuk memberikan penerangan mengenai proses dan prosedur pendaftaran perahu termasuk keperluan untuk menjalani Kursus Kelas 9 (Terhad) yang dimestikan untuk setiap pemandu yang memandu dan mengendalikan perahu-perahu.
Ia juga termasuk penerangan mengenai keperluan untuk menyediakan alat-alat keselamatan seperti keperluan jaket keselamatan, lampu dan wisel.
Di samping itu, pihak PBMP juga telah mengambil kesempatan untuk memberigakan mengenai dengan kewajipan untuk memakai jaket-jaket keselamatan bagi para pengendali dan penumpang semasa berada di atas perahu.
Risalah-risalah mengenai kepentingan pemakaian jaket keselamatan turut diberikan kepada para peserta.
Dengan usaha berterusan itu, pihak PBMP berharap para peserta akan dapat mengambil berat mengenai aspek-aspek keselamatan dan menjadikan keselamatan sebagai keutamaan dan budaya sewaktu berada di atas perahu.

