Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselamatan sosial lebih baik amat diperlukan

    Oleh Ravindran Raman Kutty

     

    KUALA LUMPUR – Keselamatan Sosial adalah satu bentuk perlindungan yang diberikan kepada individu dan isi rumah bagi memastikan akses kepada penjagaan kesihatan dan menjamin keselamatan pendapatan terutamanya dalam kes-kes usia tua, pengangguran, sakit, hilang upaya, kecederaan di tempat kerja, isu-isu berkaitan bersalin atau kehilangan pencari nafkah keluarga.

    Keselamatan sosial melindungi para pekerja dan tanggungannya daripada jatuh miskin dan melarat.

    Di Malaysia, peruntukan keselamatan sosial adalah berbeza dalam kalangan masyarakat bergantung kepada sektor pekerjaan masing-masing.

    Bagi pekerja kerajaan, keselamatan sosial dijaga dengan baik oleh pelbagai agensi kerajaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.

    Bagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta, keselamatan sosial disediakan oleh pelbagai pihak termasuk majikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu.

    Bagi pekerja kerajaan di Malaysia, keselamatan sosial dijaga dengan baik oleh pelbagai agensi kerajaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam. Bagi mereka yang bekerja dalam sektor swasta pula, keselamatan sosial disediakan oleh pelbagai pihak termasuk majikan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso) dan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu. – Bernama
    Keselamatan sosial melindungi para pekerja dan tanggungannya daripada jatuh miskin dan melarat. Di Malaysia, peruntukan keselamatan sosial adalah berbeza dalam kalangan masyarakat bergantung kepada sektor pekerjaan masing-masing. – Agensi

    Walaupun KWSP dan Perkeso adalah antara penyedia utama keselamatan sosial, kita perlu akui peranan penting dan sumbangan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan serta negeri yang turut menyokong dan menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan.

    Kementerian Kewangan memberi sokongan dari segi bantuan ekonomi dan kewangan.

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula manyalurkan banyak subsidi bagi penjagaan kesihatan dan perubatan selain menjalankan penyelidikan dalam pencegahan pelbagai penyakit dan pada masa sama bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan dari segi keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta keselamatan jalan raya.

    Jabatan dan agensi lain termasuk jabatan kebajikan dan agama turut berperanan dalam menyediakan keselamatan sosial untuk rakyat.

    Bertindih

    Bagaimanapun, kebelakangan ini, nampaknya tanggungjawab dan tujuan utama Perkeso adalah bertindih atau bertentangan dengan beberapa jabatan dan agensi lain yang ditubuhkan dengan tujuan sama walaupun tidak sepenuhnya sama dengan niat dan fungsi bagi memenuhi keperluan rakyat.

    Pada 1969, berikutan kelemahan Akta Pampasan Pekerja 1952, Parlimen meluluskan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (ESSA) untuk menangani keperluan pekerja yang cedera.

    Peruntukan tertentu adalah mandatori, termasuk penjagaan perubatan; faedah hilang upaya sementara dan kekal; geran dan pencen ilat; pencen penakat; faedah-faedah orang tanggungan; dan faedah-faedah pengurusan mayat.

    ESSA juga menyediakan faedah pilihan seperti pemulihan fizikal; peruntukan prosthesis; Orthotik; bantuan perubatan; latihan vokasional; dialisis dan implan peritoneal / hemodialisis; pemegangan hartanah; dan pelaburan.

    Peruntukan berkenaan nampak hebat tetapi faedah untuk isu-isu berkaitan bersalin dan pencen usia tua, dua komponen paling penting dan amat diperlukan dalam keselamatan sosial, tidak ada dalam senarai berkenaan.
    Dengan semakin ramai wanita menyertai tenaga kerja, faedah bersalin perlulah diberi keutamaan, sementara pencen usia tua juga sangat perlu bagi menjaga golongan yang telah berkhidmat untuk negara selama beberapa dekad.

    Pelaksanaan kedua-dua peruntukan itu dapat dilakukan dengan kerjasama rapat di antara Perkeso, KWSP, MOF dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    Banyak persoalan dibangkitkan mengenai fungsi dan amalan Perkeso.

    -Sepanjang beberapa dekad yang lalu, Perkeso telah memberi keutamaan kepada fungsi-fungsi pilihan seperti ‘Pemulihan Dialisis’ sedangkan hakikatnya ia adalah tanggungjawab KKM.

    -Perkeso juga melakukan Program Saringan Kesihatan (HSP), program pencegahan dan faedah yang merupakan satu lagi fungsi KKM.

    -Penglibatan Perkeso dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan pula bertindih dengan fungsi utama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, di bawah Kementerian Sumber Manusia.

    -Aktiviti-aktiviti promosi keselamatan jalan raya adalah fungsi utama Jabatan Keselamatan Jalan Raya tetapi Perkeso menduplikasi fungsi-fungsi itu.

    Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka mempunyai kemudahan terkini yang membanggakan tetapi pencapaiannya masih belum diketahui setelah ditubuhkan beberapa tahun lepas. Berapa banyakkah pencarum berjaya dipulihkan dan mendapat pekerjaan atau hidup berdikari dengan bermaruah? Berapa banyakkah penjimatan Perkeso dengan menghantar pencarum ke pusat pemulihan berkenaan? Apakah keberkesanan kos bagi usaha ini?

    Perkeso ditubuhkan kira-kira 47 tahun lepas. Kecuali Skim Bencana Pekerjaan Sendiri (SPS) bagi pemandu teksi dan seumpamanya yang diperkenalkan tahun lepas serta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk para pekerja yang diberhentikan berkuat kuasa tahun ini, Perkeso hanya mempunyai dua skim selama ini dan berjaya mengumpul kira-kira RM24 bilion. Perkeso perlu mewujudkan skim-skim keselamatan sosial holistik untuk pekerja sektor swasta dan keluarga mereka terutamanya apabila bersara.

    Perkeso perlu mengkaji dan memberi tumpuan dalam menyediakan perkhidmatan mandatori kepada para pencarumnya seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, dengan sokongan dan bekerjasama dengan penyedia utama perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan.

    Sekiranya pihak-pihak berkepentingan itu merasakan bahawa fungsi-fungsi pilihan lebih penting, maka Akta berkaitan perlu dipinda dengan sewajarnya.

    Perkeso juga perlu mengkaji dengan teliti sebelum membuat sebarang pelaburan. Sejak kebelakangan ini Perkeso telah menjadi pelabur hartanah yang bernilai berjuta-juta ringgit, satu langkah yang salah pada pendapat saya.

    Perkeso tidak sepatutnya menceburi bidang pelaburan, sebaliknya memberi tumpuan kepada tujuan utamanya iaitu menyediakan keselamatan sosial untuk rakyat. Saya tertanya-tanya jika ada urusan lain yang tidak diketahui umum. Akauntabiliti awam sangat penting dalam operasi Perkeso.

    Baru-baru ini, saya diberitahu mengenai bukti perkhidmatan Perkeso yang tidak efektif. Seorang teman baik kehilangan suaminya yang merupakan pensyarah di sebuah kolej di Ipoh.

    Beliau sebenarnya menggantikan pensyarah lain yang cuti sakit. Semasa di kelas, beliau tiba-tiba jatuh dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Isterinya, ibu kepada tiga anak, cuba mendapatkan beberapa bentuk sokongan sosial atau pampasan daripada Perkeso namun gagal atas alasan serangan jantung tidak berkaitan dengan pekerjaan mangsa. Saya tertanya-tanya sama ada pegawai-pegawai di Perkeso memahami maksud kecederaan pekerjaan dalam konteks Keselamatan Sosial atau adakah mereka memikirkan konsep ‘lingkungan pekerjaan’ dalam kes ini.

    Perkeso menyukarkan urusan para pencarumnya sedangkan mudah untuk melaburkan wang pencarum dan perbelanjaan bagi tujuan lain.

    Semasa di Perkeso, saya dapati Sekretariat Lembaga Perubatan dan Lembaga Rayuan Perubatan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perubatan dan Rehabilitatif, dan sekretariat kepada Lembaga Keselamatan Sosial Rayuan diletakkan di bawah Jabatan Undang-undang.

    Adalah lebih baik sekiranya sekretariat-sekretariat itu diletakkan di bawah pejabat Menteri yang sesuai dan ditugaskan mengikut tumpuan tugasan masing-masing.

    Jadual 9, Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kerajaan sepatutnya menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan untuk setiap warganegara.

    Perkeso dan KWSP tidak boleh digunakan untuk tujuan kesihatan atau perubatan sepertimana dilakukan sekarang ini. KWSP dan Perkeso mesti digabungkan supaya dana penjagaan kesihatan, pencen dan pampasan pekerja boleh diwujudkan untuk setiap warganegara di negara ini.

    Lebih baik, jika ada satu tabung atau organisasi keselamatan sosial yang menawarkan semua elemen keselamatan sosial. Setiap kanak-kanak mempunyai sijil kelahiran, begitu juga, setiap kanak-kanak perlu mempunyai akaun dana pencen yang dibuka pada hari lahirnya.

    Ia harus menjadi dana berasaskan perkhidmatan yang mesti dikaji semula dari semasa ke semasa.

    Dana itu dijana melalui majikan, pekerja dan juga kerajaan. Cukai yang diperoleh juga mesti menyumbang kepada dana ini.

    Penggabungan antara KWSP dan Perkeso juga perlu melihat kepada dana berasaskan nilai dan memberi pencen tanpa mengira pendapatan bulanan dan dijamin oleh kerajaan.

    Skim ini hendaklah meliputi semua penyakit tanpa mengira sama ada ia berkaitan dengan pekerjaan atau sebaliknya, meliputi semua kemalangan 24 jam dan tujuh hari seminggu, melindungi para pekerja industri kecil dan sederhana, petani, nelayan, masyarakat Orang Asli, pribumi dan dari sektor tidak formal.

    Perkeso mesti bergabung dengan KWSP untuk menyediakan pencen di bawah pengawasan, pengurusan dan pengendalian kerajaan, penjagaan kesihatan untuk kesemua anggotanya, dan setelah kematiannya, kepada keluarga terdekatnya. Perkeso tidak menyediakan fungsi keselamatan sosial dengan cukup baik walaupun pengumpulan dana menunjukkan kemampanannya berdasarkan prinsip aktuari.

    Perkeso kini menawarkan pelbagai faedah tetapi dihadkan oleh undang-undang. Pelan penjagaan kanak-kanak juga perlu diperbaiki dan dikaji. Kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan congenital atau tidak berupaya secara fizikal, tidak dilindungi di bawah mana-mana pelan dan ia adalah isu serius bagi ibu bapa yang mempunyai anak seumpama itu.

    Saya merasakan Perkeso mesti memberikan keutamaannya kepada fungsi terasnya yang asal dan mematuhi peruntukan undang-undang untuk menyediakan dan meningkatkan keselamatan Sosial kepada pencarum-pencarumnya. Marilah kita memberi tumpuan kepada usaha-usaha untuk memberikan pelbagai faedah yang lebih baik kepada para pencarumnya. Ia merangkumi pelan persaraan sepanjang hayat, kediaman lengkap kos rendah untuk persaraan serta melayakkan penyakit berkaitan tekanan sebagai penyakit yang boleh dituntut daripada Perkeso. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda