Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselamatan tempat kerja, perlindungan sosial disentuh

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Menteri-menteri buruh ASEAN bertekad untuk terus melaksanakan komitmen dalam Kenyataan Bersama Menteri-menteri Buruh ASEAN bagi Respons terhadap Impak COVID-19 ke atas Buruh dan Pekerjaan yang dipersetujui pada Mesyuarat Khas Menteri-menteri Buruh ASEAN yang dihoskan oleh Malaysia pada 14 Mei lalu.

    Pada masa yang sama, menteri-menteri juga menyokong pemuktamadan Pelaksanaan Pelan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN untuk disokong dan dipersetujui oleh Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 pada November nanti serta bersetuju untuk mengambil inisiatif-inisiatif bagi menyokong pemulihan dan ketahanan semua pekerja yang terkesan oleh pandemik berkenaan.

    Perkara itu ditekankan dalam kenyataan bersama Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN (ALMM) ke-26 yang diadakan secara persidangan video pada 28 Oktober lalu.

    Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia Indonesia, Puan Yang Terutama Ida Fauziah dan dihadiri oleh menteri-menteri buruh ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN, Dato Paduka Lim Jock Hoi dan delegasi masing-masing. Menghadiri mesyuarat berkenaan bagi Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Menurut kenyataan bersama berkenaan, menteri-menteri buruh ASEAN bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran-cabaran masa kini dan yang muncul di ASEAN serta global yang mempunyai impak kepada landskap kerjasama buruh di rantau ini. Para menteri yang bersidang juga menyatakan sokongan kepada tema Pengerusi ALMM (2020-2022) iaitu ‘Mempromosikan Pekerja ASEAN bagi Daya Saing, Ketahanan dan Ketangkasan dalam Masa Depan Pekerjaan.’

    Dato Paduka Lim Jock Hoi yang turut menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-26 (ALMM Ke-26) yang diadakan secara persidangan video pada 28 Oktober lalu.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-26 (ALMM Ke-26) yang diadakan secara persidangan video pada 28 Oktober lalu. – Gambar serahan Sekretariat ASEAN

    Para menteri juga bersetuju untuk menggandakan usaha bagi mempromosi kesejahte-raan dan kompetensi tenaga kerja ASEAN dan untuk memastikan pekerjaan produktif, tempatan kerja yang selamat dan sihat serta pelindungan sosial yang mencukupi.

    Ke arah itu, sidang menteri bersetuju untuk mengangkat Program Kerja Menteri-menteri Buruh ASEAN 2021-2025, Pelan Kerja SLOM-WG 2021-2025, Pelan Kerja ASEAN-OSHNET 2021-2025 serta Kemas Kini Pelan Tindakan Konsensus ASEAN bagi Pelindungan dan Promosi Pekerja Migran yang mencartakan keutamaan kerjasama bagi lima tahun mendatang.

    Kenyataan bersama itu menyatakan lagi bahawa menteri-menteri buruh ASEAN menyatakan komitmen secara kolektif bersedia bagi pekerjaan masa depan dan ia ditekankan menerusi Kenyataan Menteri-Menteri Buruh ASEAN bagi Pekerjaan Masa Depan: Merangkul Teknologi bagi Pertumbuhan Mampan dan Inklusif yang dipersetujui semasa Persidangan Masa Depan Pekerjaan Singapura yang berlangsung di Singapura pada 2019. Para menteri juga sebulat suara menyokong penubuhan Regional Centre of the Future of Work oleh Singapura dan pelancarannya di HR Tech Festival Asia 2020 yang dihoskan oleh Singapura pada 29 September hingga 1 Oktober 2020.

    Mereka juga mengambil maklum bagai pusat serantau itu akan menjadi platform bagi dialog sosial dan pembangunan kapasiti berterusan bagi ASEAN dalam tiga bidang utama iaitu merangkul teknologi, tripartisme serta kesihatan dan keselamatan tempat kerja iaitu sebuah agenda yang proaktif dan berpandangan ke hadapan bagi masa depan pekerjaan.

    Para menteri melahirkan perasaan gembira dengan selesainya penilai diri negara pertama bagi pelaksanaan Konsensus ASEAN bagi Pelindungan dan Promosi Hak Pekerja Migran oleh negara-negara anggota ASEAN di mana hasil daripada penilaian itu, memberikan input yang berguna dalam bidang-bidang bagi pembelajaran bersama dan pembaikan serantau serta menetapkan keutamaan lima tahun dalam Pelan Tindakan Konsensus ASEAN.

    Sidang menteri juga bersetuju mengangkat Peta Jalan ASEAN bagi Penghapusan Bentuk Terburuk Buruh Kanak-Kanak menjelang 2025 oleh Menteri-menteri Buruh ASEAN bagi memudahkan kerjasama lebih dekat dalam kalangan badan-badan ASEAN yang relevan supaya bagi secara kolektif menyokong negara-negara anggota ke arah sifar buruh kanak-kanak. Mereka juga telah meminta pegawai-pegawai buruh kanan ASEAN untuk memulakan pelaksanaan kerjasama dengan sektor-sektor lain supaya dapat menangani aspek pelbagai dimensi kanak-kanak buruh secara holistik.

    Menteri-menteri juga bersetuju untuk mengangkat Garis panduan ASEAN bagi Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OSH) Pengurusan Risiko bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam Negara-negara Anggota ASEAN di mana ia menyediakan langkah-langkah praktikal yang boleh menyokong perusahaan dalam memperbaiki standard OSH di tempat kerja.

    Pelaksanaan garis panduan berkenaan juga akan menyokong ke arah selamat kembali bekerja pasca pandemik dan juga menyokong objektif Kenyataan bagi Memperbaiki OSH bagi Pembangunan Ekonomi Mampan oleh menteri-menteri buruh ASEAN.

    Menteri-menteri buruh ASEAN bersetuju untuk bertemu pada ALMM ke-27 yang akan dipengerusikan oleh Filipina pada 2022.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda