Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Keselesaan rakyat menjadi keutamaan raja prihatin

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar oleh Muiz Matdani & Nurdiyanah R.

     

    SETIAP insan setentunya mempunyai impian untuk membina sebuah kehidupan yang mapan dan salah satu impian itu adalah untuk memiliki rumah sendiri.

    Apa yang pasti ia menjadi dambaan kepada setiap orang sama ada yang sudah berkahwin, berkeluarga atau pun belum untuk memiliki sebuah tempat tinggal atau tempat berlindung dari hujan dan terik matahari.

    Tempat tinggal merupakan sebuah harta yang tinggi nilainya. Meskipun kecil atau sederhana saiz sesebuah rumah itu, ia pasti akan menjadi istana bagi yang memilikinya sehingga menjadikannya ibarat rumahku syurgaku di mana sesebuah keluarga dapat berbagi rasa suka dan duka bersama.

    Keprihatinan dan pemedulian raja

    Oleh yang demikian, rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam ini sangat bertuah kerana kesejahteraan dan kepentingan taraf kualiti kehidupan antaranya dari segi penyediaan perumahan tetap menjadi keutamaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana ia merupakan perlaksanaan yang berterusan sejak era pemerintahan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien pada awal tahun 50-an.

    Sebagai seorang raja dan pemimpin yang berwawasan jauh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bukan sahaja berhasrat untuk menginginkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, malah Baginda Sultan juga turut memastikan setiap rakyat di negara ini memiliki rumah yang selesa.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan anak kunci rumah kepada para penerima anak-anak kunci rumah RPN bagi Daerah Tutong dan Belait bertempat di Dewan PTET, Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

    Semasa keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli ke rumah kluster milik Awang Abdul Rahman setelah selesainya Majlis Penyerahan Anak-anak Kunci Rumah Rancangan Perumahan Negara di Dewan PTET, Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

    Ini jelas mencerminkan sikap keprihatinan dan pemedulian Baginda Sultan kepada rakyat dan penduduk di negara ini, secara tidak langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita Baginda Sultan khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mapan ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Satu anugerah rasmi

    Baru-baru ini, wartawan Media Permata berkesempatan untuk menyaksikan Majlis Penyerahan Anak-anak Kunci Rumah Rancangan Perumahan Negara (RPN) bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan mengurniakan anak-anak kunci rumah kepada 601 orang penerima dalam Majlis Penyerahan Anak-anak Kunci Rumah Rancangan Perumahan Negara di Dewan Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET), Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong.

    Menurut Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam, dalam sembah alu-aluannya menjelaskan bahawa seramai 301 orang menerima rumah jenis kluster dan 53 orang menerima rumah jenis teres di bawah RPN Bukit Beruang bagi Daerah Tutong.

    Manakala seramai 247 orang pula menerima rumah jenis teres di bawah RPN Lumut dan Lorong Tengah Seria bagi Daerah Belait.

    “Adapun pengurniaan anak-anak kunci rumah ini jelas menggambarkan sifat pemedulian dan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap kesejahteraan dan keselesaan rakyat Baginda Sultan dan dapat memupuk lagi perpaduan masyarakat,” ujar beliau lagi.

    Di samping itu, beliau juga menyeru para penerima anak kunci rumah akan sentiasa memelihara dan menjaga alam sekitar serta kebersihan agar Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berada dalam keadaan bersih, indah dan cantik selama-lamanya.

    Sejak wujudnya RPN, dapat dilihat ia terus berkembang dan dinikmati oleh penduduk negara ini yang mana sehingga hari ini, lebih 28,000 buah rumah di bawah RPN dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) telah dibina di seluruh negara.

    ATAS & BAWAH: Antara penerima anak-anak kunci rumah kluster dan rumah teres di bawah RPN Bukit Beruang bagi Daerah Tutong serta rumah teres di bawah RPN Lumut dan Lorong Tengah Seria bagi Daerah Belait.

    Gembira…Antara penerima rumah teres dan kluster yang diraikan pada hari tersebut.

    Daripada jumlah tersebut, sebanyak 27,045 buah rumah telah dianugerahkan kepada penerima yang berkelayakan dan daripada jumlah itu lagi, seramai 1,943 orang merupakan pemohon yang berjaya mengikuti RPN bagi Daerah Tutong dan 6,334 orang pemohon bagi Daerah Belait.

    Impian menjadi kenyataan

    Kegembiraan yang mendalam jelas tergambar di setiap wajah penerima anak-anak kunci rumah di bawah RPN bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait kerana saat yang dinanti-nantikan untuk memiliki rumah sendiri telah tercapai berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap kepentingan rakyat dan penduduk di negara ini.

    Oleh itu, untuk menyelami detik-detik kenangan manis mereka di atas penganugerahan tersebut, penulis turut berpeluang untuk menemu ramah beberapa orang penerima semasa majlis itu berlangsung.

    Salah seorang penerima rumah jenis kluster RPN Bukit Beruang di Jalan Paya Belambang, Daerah Tutong, Dayang Noor Faizah binti Kamaludin, 28, telah melahirkan rasa syukur kerana menerima rumah sendiri setelah menanti selama lima tahun.

    “Selama menetap di rumah kluster ini, segala kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah sangat memuaskan dan mencukupi bagi saya sekeluarga untuk menikmati keselesaan ketika berada di rumah dan juga persekitaran rumah,” ujarnya lagi.

    “Hamba Kebawah Duli Tuan Patik sentiasa mendoakan agar Baginda Sultan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dan semoga Allah S.W.T melimpahkan keberkatan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik!,” tambah beliau dengan senyuman kegembiraan.

    Awang Abdul Rahman bin Haji Abdul Rashid yang turut menerima rumah jenis yang sama menyatakan ia merupakan hari yang bersejarah bagi beliau sekeluarga kerana bertuah menerima kunjungan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia setelah selesainya majlis penyerahan anak kunci itu berlangsung.

    Dayang Noor Faizah berasa sangat bersyukur kerana menerima rumah jenis kluster setelah menanti selama lima tahun.
    Ampuan Saleha semasa ditemui Media Permata di Dewan PTET, Kampung Bukit Beruang, Daerah Tutong meluahkan perasaan terharu dan sangat gembira.
    Awang Mariusree menyatakan rasa kesyukuran apabila berpeluang memiliki rumah sendiri bersama keluarga tersayang.

    “Sangat gembira dan bersyukur yang tidak terhingga kerana berkesempatan menerima sendiri kunci perumahan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang sangat ditunggu kira-kira selama dua tahun lebih,” tambah beliau yang bertugas sebagai guru agama di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas itu dengan rasa terharu.

    Seorang lagi penerima rumah jenis teres RPN Lumut, Jalan Paku-Paku, di Daerah Belait, Ampuan Saleha binti Ampuan Daud mengungkapkan perasaan terharu dan gembira kerana pertama kali menjunjung ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Walaupun menunggu selama 10 tahun lamanya, tetapi beliau tetap bersyukur kepada Allah S.W.T. di atas rezeki untuk memiliki rumah sendiri termakbul yang mana sebelumnya beliau sekeluarga hanya tinggal di rumah ibu bapanya.

    Sementara itu, penerima rumah jenis yang sama di Jalan Rotan Getah, RPN Lumut, Awang Mariusree bin Merusin pula menyatakan rasa gembiranya apabila berpeluang untuk memiliki dan tinggal di rumah sendiri, kerana sebelum ini beliau sekeluarga terpaksa tinggal di rumah mertuanya di Kampung Sungai Buloh bersama ahli keluarganya yang lain.

    “Dengan pengurniaan rumah teres ini sememangnya ia adalah suatu keistimewaan yang sangat berharga yang diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang mana ia ibarat sebuah lembaran baru bagi saya sekeluarga kerana dapat mendiami rumah sendiri setelah penantian selama 11 tahun lamanya,” ujar beliau lagi dengan senyuman semasa mengakhiri temu ramah.

    Itulah suasana Majlis Penyerahan Anak-Anak Kunci Rumah RPN bagi Daerah Tutong dan Daerah Belait yang sememangnya telah melakar detik-detik kenangan terindah bagi para penerima yang telah mencapai impian untuk memiliki rumah sendiri dengan kemudahan dan keselesaan yang memuaskan telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang tidak terhingga bersama ahli keluarga, saudara mara dan jiran tetangga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda