Oleh Lenna N.B. & Abdul Hakim K.A.
KELIHATAN cahaya samar-samar memancar ke jendela. Sesekali, Dayang Anisah memandang keluar, sekadar ingin melihat suasana kesibukan kota. Sementara Awang Gary sedang menyediakan hidangan makan malam yang cukup sederhana di sebalik dapur yang berkonsepkan ala moden dan minimalis.
“The Kitchen Table ini secara ringkasnya mempunyai dua ruangan utama, iaitu dapur terbuka dan ruang makan yang luas. Ruangan ini membolehkan orang ramai menggunakannya untuk memasak dan juga pada masa yang sama dijadikan sebagai lokasi untuk menghidangkan makanan kepada tetamu. Contohnya, acara-acara kekeluargaan, atau sebagai lokasi usahawan kecil di bidang makanan untuk memperkembangkan perniagaan,” jelas Awang Gary Sekhon, Pemilik dan Pengasas bersama The Kitchen Table ketika ditemuramah Media Permata baru-baru ini.
Sebalik reka bentuk The Kitchen Table
The Kitchen Table baru sahaja ditubuhkan sekitar awal bulan Mei 2017, oleh Awang Gary Sekhon dan Dayang Anisah Alkaff. Terletak di tengah-tengah pusat membeli-belah Kiulap, The Kitchen Table, satu-satunya di negara ini, merupakan jenis perniagaan yang berkonsepkan dapur dan ruang makan yang menawarkan lokasi untuk disewa oleh orang ramai.
Rekabentuk dapur itu tampil ringkas, dengan susunan kabinet moden, rak-rak kayu mewarnai dinding dapur yang membentuk suasana lebih meluas, ruang tengah dapur diisi dengan kaunter meja serta sinki seperti dapur ala Inggeris, tungku gas yang dilengkapi dengan ketuhar serta penyedut asap, dan lain-lain kelengkapan dapur yang cukup sederhana dan mesra guna.




Menariknya ia mengetengahkan konsep dapur terbuka yang disertai dengan ruang makan cukup luas, dihiasi dengan perabot meja dan kerusi kayu.
Lampu kuning menghiasi ruangan tersebut, bagi menimbulkan suasana santai dan romantis. Cukup indah untuk dijadikan sebagai lokasi makan malam bersama insan tercinta.
Bermula dari ruang kosong
“Semuanya bermula dari sebuah ruang kosong. Saya bekerja bersebelahan dengan tapak ini, jadi setiap hari pada ketika melihat ruang kosong ini, saya tahu saya perlu melakukan sesuatu. Apatah lagi, melihat cahaya mewarnai ruang ini dari kaca jendela yang hampir memenuhi sudut dindingnya seakan mengusik hati saya,” terang Awang Gary.
Menurutnya, beliau memang bercita-cita ingin melibatkan diri di dalam bidang perniagaan namun belum mengetahui jenis perniagaan yang ingin diceburinya. Justeru itu, apabila melihat tapak sebelah pejabatnya yang kosong, beliau menemui peluang perniagaan yang cerah. Bersama rakan kerjasamanya, Dayang Anisah, mula merancang idea untuk memanfaatkan tapak tersebut.
“Di Brunei, banyak belia-belia kita yang menceburi industri makanan secara kecil-kecilan atau hanya dari rumah. Di sinilah kami melahirkan idea, untuk mengubah tapak yang asalnya kosong ini menjadi sebuah dapur dan ruang makan.


Ia secara langsung membantu peniaga-peniaga ini melayani pelanggan mereka secara lebih dekat,” tambah Dayang Anisah.
Bentuk perniagaan ini mungkin agak baru di Brunei, namun di luar negara, sudah lama mengetengahkan konsep penyewaan dapur dan ruang makan sama ada untuk acara persendirian atau lokasi khas untuk peniaga. Oleh itu, sudah tiba masanya, perniagaan ini diperkenalkan di Brunei apatah lagi sebagai platform untuk usahawan kita.
Dekorasi minimalis
Mempunyai suasana seperti rumah, The Kitchen Table di satu sudut turut dihiasi dengan tumbuhan, antaranya terdiri daripada herba-herba semulajadi yang boleh digunakan dalam masakan.
Di samping itu, ia juga memperindahkan lagi suasana ruang makan yang romantis.
Pentas kecil sengaja dibina di sudut hujung sekali, yang boleh dimanfaatkan oleh penyewanya untuk beberapa persembahan kecil, atau sekadar pentas untuk bergambar.
Secara keseluruhannya, suasana The Kitchen Table cukup minimalis, tanpa terlalu banyak hiasan agar ruang tersebut dapat dihias secara bebas mengikut citarasa penyewa ketika hendak menganjurkan acara mereka.


“Sama ada acara untuk meraikan hari jadi, ulang tahun perkahwinan, malam persembahan, acara bersama keluarga atau sebagainya, semuanya bebas untuk para penyewa menggunakan ruangan ini. Pada baru-baru ini, lokasi ini juga pernah digunakan untuk pameran seni lukis daripada Kaleidoscope.”
Menyaksikan masakan secara langsung
Apabila kita melangkah ke restoran-restoran, biasanya kita tidak tahu siapa tukang masak sebalik makanan yang dihidangkan, siapa kru yang bersembunyi di sebalik dapur. Namun, berbeza di Kitchen Table, dengan konsep dapur terbuka, pada masa itulah wajah tukang masak ataupun cef sebalik dapur dapat dilihat, apatah lagi persembahan mereka memasak secara langsung.
“Di sini, kita umpama melihat sebuah persembahan seni, malah silaturrahim antara tetamu seakan terbentuk dengan indahnya, menciptakan suatu pengalaman peribadi yang tidak dapat dilupakan,” ucap Dayang Anisah tersenyum.
Menurutnya, sejak The Kitchen Table beroperasi, beliau bersama rakan kerjasamanya, Gary berasa terhibur melihat tukang masak yang bekerja di dapur mereka, terutama dalam menyaksikan bagaimana seorang tukang masak itu meletakkan sepenuh hatinya ke atas makanan yang dihasilkan sehinggalah sebiji piring putih itu diwarnai dengan hidangan yang cukup istimewa. Wajah tetamu pula kelihatan tersenyum gembira setiap kali sudu sampai ke mulut mereka.


Hayati keindahan
“Menghayati suasana indah di tapak ini, wajah pelanggan-pelanggan kami serta para pengunjung yang gembira dan kagum, adalah detik paling manis buat kami berdua, apatah lagi atas jerih payah kami mengubah tapak kosong ini seperti sekarang.
Dengan pembelanjaan yang terhad, kami meletakkan sepenuh jiwa kami merekabentuk tapak ini seindah yang mungkin. Walaupun penuh kesukaran, ternyata kami berdua berjaya melakukannya,” ucap Awang Gary kagum.
The Kitchen Table bukanlah sebuah restoran, bukan juga gerai makan, tetapi sebuah tapak lokasi yang dibukakan untuk orang ramai menggunakannya sama ada untuk merakamkan memori indah bersama keluarga dan sahabat atau platform perniagaan.
Dalam masa terdekat ini, kelas masakan juga bakal dilaksanakan di tapak tersebut. Begitulah Awang Gary dan Dayang Anisah membentuk kenangan indah di The Kitchen Table, dan siapa sangka, kenangan indah kita juga akan tercoret sebalik dapur mereka ini.
“Di masa akan datang, mungkin kami berdua akan menghidangkan menu masakan kami di sini,” ujar Dayang Anisah tersenyum di hujung temuramah.