(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sujud merupakan salah satu daripada rukun dalam sembahyang berdasarkan firman Allah yang tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, ruku‘lah dan sujudlah (mengerjakan sembahyang)…” (Surah al-Hajj: 77)
Persoalan bagaimana cara melaksanakan sujud dalam sembahyang itu hendaklah dilihat kepada cara dan tunjuk ajar sembahyang Rasulullah.
Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang yang berupa rukun, perkara-perkara sunat dan tertib sembahyang, daripada permulaan sembahyang dengan takbiratul ihram sehingga selesai dengan mengucapkan salam, kesemuanya itu hendaklah mencontohi cara sembahyang Rasulullah.
Daripada Malik bin al-Huwayrits Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“(Kerjakan) sembahyang sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Anggota sujud
Anggota sujud dalam sembahyang ada tujuh, iaitu menyampaikan atau meletakkan pada tempat sujud sebahagian daripada dua tapak tangan, sebahagian daripada dua kaki (yakni jari-jari kaki), dua lutut dan sebahagian dahi yang tidak berlapik. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:
“Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang (anggota sujud), iaitu: pada dahi – dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda -, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua telapak kaki…” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis yang disebutkan di atas secara umum membayangkan apa dia anggota-anggota sujud dalam sembahyang. Akan tetapi, kadang kala timbul persoalan yang melibatkan anggota-anggota sujud itu sendiri. Tidak dinafikan juga, terjadi kecuaian dan kesilapan dalam melakukan sujud tanpa disedari, antaranya:
Meletakkan hidung dan dahi pada tempat sujud
Hukum meletakkan hidung pada tempat sujud ketika sujud adalah dituntut berdasarkan hadis shahih di atas, akan tetapi hukumnya adalah sunat dan bukan wajib. Selain itu, para ulama telah menyebutkan sujud pada dahi semata-mata tanpa meletakkan hidung pada tempat sujud hukumnya adalah makruh. Sebaliknya pula, adalah tidak memadai sekiranya sujud dilakukan dengan hanya meletakkan hidung sahaja tanpa sebahagian dahi. Ini kerana dahi adalah termasuk dalam anggota sujud.
Mengangkat dahi ketika sujud
Sekiranya seseorang itu tersujud atas permukaan yang tajam dan menyakiti dahinya, bolehlah dia mengalihkan dahinya itu tanpa mengangkatnya. Jika dia mengalihkan dahinya dengan mengangkatnya, maka batal sembahyangnya kerana menambah perbuatan sujud. Akan tetapi jika dia mengalihkan dahinya itu dengan mengangkatnya sebelum thuma’ninah, maka tidaklah membatalkan sembahyangnya.
Thuma’ninah merupakan salah satu rukun sembahyang. Thuma’ninah bermaksud tetap anggotanya ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang sekurang-kurangnya dengan kadar bacaan zikir: “Subhanallah” sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Seperti yang diketahui, thuma’ninah diwajibkan ketika sujud.
Oleh yang demikian, maksud thuma’ninah ketika melakukan sujud ialah tetap anggotanya semasa sujud sebelum bangkit daripada sujud.
Dahi dan hidung yang berlapik
Ketika sujud, bahagian dahi hendaklah dalam keadaan terbuka atau terdedah tanpa dihalang oleh sebarang lapik seperti songkok, serban, telekung atau seumpamanya. Demikian juga, disunatkan agar bahagian hidung mencecah tempat sujud tanpa dihalang oleh sebarang lapik sebagai ittiba‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah). Dalil dalam perkara ini antaranya berdasarkan riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudriy r.a. yang maksudnya:
“Bahawa Rasulullah dapat dilihat pada dahi dan hujung hidung Baginda kesan (bekas) tanah (setelah selesai) daripada sembahyang yang dilaksanakan Baginda bersama-sama orang ramai.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Kedudukan jari-jari tangan dan kaki ketika sujud
Berdasarkan hadis yang disebutkan di atas, diwajibkan ketika melakukan sujud untuk meletakkan kesemua tujuh anggota sujud ke bumi, antaranya ialah dua tangan dan dua kaki. Yang dimaksudkan dengan dua kaki itu ialah perut jari-jari dari dua telapak kaki.
Oleh itu, tidak sah sujud dalam sembahyang dengan hanya meletakkan belakang telapak tangan, hujung-hujung jari atau tepi-tepinya. Begitu juga, tidak memadai sujud dengan hanya meletakkan belakang jari kaki, apatah lagi membiarkannya tergantung-gantung tidak mencecah bumi atau lantai.
Ini berbeza halnya jika ada keuzuran seperti putus tangan atau putus jari-jari kaki, maka gugurlah kewajipan untuk meletakkannya.
Demikian antara persoalan mengenai hukum dan cara meletakkan anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang dan juga beberapa contoh kecuaian dan kesilapan yang berlaku ketika sujud.
Tertib anggota ketika hendak sujud
Selain menyempurnakan kewajipan dalam meletakkan anggota-anggota sujud ketika sujud dalam sembahyang, terdapat juga perkara-perkara sunat ketika melakukan sujud, antaranya cara sujud dan tertib anggota sujud ketika hendak melakukan sujud.
Cara sujud dan tertib anggota sujud yang lebih sempurna ialah sunat bagi seseorang ketika hendak sujud supaya meletakkan kedua-dua lutut terlebih dahulu, diikuti dua kaki, iaitu jari-jari kaki yang dilipat dan dihadapkan ke arah kiblat, kemudian diikuti dengan meletakkan kedua tapak tangan sebagaimana cara atau amalan yang telah sabit daripada Rasulullah sendiri. Terakhir sekali meletakkan sebahagian dahi dan hidung secara serentak kerana ittiba‘, (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah). Hukum meletakkan kedua-dua dahi dan hidung secara serentak adalah sunat.
Perbuatan tertib ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Wa’il bin Hujr r.a., dia berkata yang maksudnya:
“Aku melihat Rasulullah apabila Baginda hendak sujud, Baginda meletakkan dua lutut Baginda sebelum dua (tapak) tangan Baginda. Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut Baginda.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Tertib dan cara ketika hendak sujud inilah yang dipegang oleh kebanyakan ulama dan ulama fiqh. Oleh itu, sebahagian ulama mengatakan adalah makruh menyalahi tertib yang telah disebutkan di atas. Manakala pendapat yang lain mengatakan sekiranya dia sujud dengan mendahului meletakkan kedua tangannya sebelum kedua lututnya, maka itu adalah memadai, cuma dia telah meninggalkan sunat hai’at dan meninggalkan perkara yang mustahab, iaitu yang disukai.
Bertumpu dengan dua tapak tangan
Begitulah penjelasan mengenai cara sujud dan tertib anggota sujud yang disunatkan. Bagaimana pula cara dan tertib anggota ketika hendak bangun berdiri setelah selesai melakukan sujud yang kedua?
Antara perkara yang disunatkan apabila hendak bangun untuk berdiri dalam sembahyang, seperti ketika bangun daripada sujud, ketika bangun daripada duduk istirahat, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua sebelum bangkit berdiri, atau ketika bangun daripada tasyahhud, ialah bertumpu dengan dua tapak tangan. Kaifiyatnya atau caranya ialah bertumpu dengan menetapkan tapak tangan dan perut jari-jari tangan yang dibentangkan (yakni tidak digenggam) di atas lantai atau tempat sembahyang.
Hukum bertumpu dengan tangan ketika bangun adalah sunat, malahan digalakkan untuk diamalkan, sama ada bagi mereka yang kuat (berdaya) mahupun yang lemah, sama ada lelaki mahupun perempuan. Bertumpu dengan tangan menyerupai tawadhu‘ (merendah diri), di samping cara ini lebih membantu orang yang sembahyang.
Dasar dalam perkara ini adalah sebagai ittiba‘ (mengikut perbuatan dan sunnah Rasulullah). Telah sabit bahawa cara Baginda bangun atau bangkit berdiri seolah-olah seperti bangunnya seorang yang lemah atau seorang tua yang lemah, yakni seseorang yang memerlukan bantuan dengan meletakkan tangan pada sesuatu atau lantai untuk menolongnya ketika bangun berdiri. Selain itu, dalam sebuah hadits shahih, menyebutkan perbincangan antara Ayyub dan Abu Qilabah r.a. mengenai cara sembahyang ‘Amru bin Salimah r.a. yang menyerupai dan mencontohi sembahyang Rasulullah yang maksudnya:
“Dan apabila Baginda mengangkat kepala Baginda daripada sujud yang kedua, Baginda duduk (seketika) dan bertumpu pada bumi (atau lantai), kemudian (Baginda pun) bangun berdiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tidak bertumpu dengan tangan pada lantai
Menurut penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa disunatkan ketika bangun daripada sujud untuk bertumpu dengan menggunakan bantuan tangan yang ditetapkan atau diletakkan pada lantai atau tempat sembahyang. Bagaimanapun dalam hadis yang diriwayatkan oleh Wa’il bin Hujr r.a. yang terlebih awal disebutkan di atas, menunjukkan bahawa Rasulullah mengangkat dua tangan Baginda sebelum dua lutut ketika bangun berdiri. Manakala dalam hadis Muhammad bin Juhadah r.a., Baginda tidak bertumpu pada lantai sebaliknya Baginda bertumpu pada peha Baginda ketika bangun berdiri sepertimana berikut:
Hadis Wa’il bin Hujr r.a. yang maksudnya:
“… Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda mengangkat dua tangan Baginda sebelum daripada dua lutut Baginda.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Manakala hadis Muhammad bin Juhadah menyebutkan yang maksudnya:
“Dan apabila Baginda hendak bangun untuk berdiri, Baginda bangun atas dua lutut Baginda dan bertumpu (dengan tangan diletakkan) pada peha Baginda.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah, cara bangun untuk berdiri dalam kedua-dua hadis di atas adalah bagi sesiapa yang tidak melakukan amalan sunat bertumpu dengan tangan pada lantai. Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak bertumpu dengan tangan pada lantai, maka digalakkan agar dia mendahulukan mengangkat kedua tangannya sebelum kedua lututnya dan dia bertumpu dengan kedua tangannya pada dua pehanya supaya dengan cara sebegini membantunya atau menolongnya untuk bangun berdiri.
Sebagai kesimpulan, antara sunat hai’at dalam sembahyang itu menyentuh mengenai tertib dan cara ketika hendak sujud dan bangun berdiri dari sujud. Tertib dan cara bangun dari sujud itu termasuklah bangun dari duduk istirahat, iaitu duduk seketika setelah sujud yang kedua dan sebelum bangun berdiri untuk rakaat seterusnya, serta bangun daripada duduk tasyahhud. Tertib dan cara ini telah sabit daripada Rasulullah sendiri berdasarkan beberapa hadis. Sebaliknya, meninggalkan tertib ini dalam sembahyang hukumnya adalah makruh kerana meninggalkan sunat hai’at.