Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesemua tertuduh sindiket Musang King kini diwakili peguam

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Kesemua defendan dalam kes dadah sindiket keluarga digelar ‘Musang King’ kini telah diwakili dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi semalam.

    Ahmad bin Haji Tamit diwakili oleh peguam bela Mohd Shazale bin Mat Salleh dari firmanya sendiri dan isteri Ahmad, Maskunah binti Wahab diwakili peguam Sharah Abdul Hamid dari Tetuan ZS Legal.

    Anak pasangan itu Isamuddin diwakili peguam bela Haji Daud Ismail dari Tetuan Daud Ismail and Co.

    Manakala Mohammad Saifuddin diwakili oleh peguam bela Mansur Latif dari Tetuan Abas Serudin and Partners, dan Siti Izzatul Munirah diwakili peguam Lenny Rahman dari Tetuan HLR Law.

    Suami Siti Izzatul Munirah, Jakaria bin Ahad pula diwakili oleh peguam Pengiran Shahyzul Pengiran Abdul Rahman dari Tetuan LZ Hussain and Co.

    Kesemua defendan didakwa memiliki 18.9943 kilogram (kg) methylamphetamine untuk pengedaran yang mana dadah itu ditemui di sekitar sebuah rumah mereka di Jalan Junjongan.

    Tuduhan termasuk memiliki 532.44 gram (g) methylamphetamine dalam botol. Defendan tinggal di rumah di kawasan tersebut.

    Isamuddin juga menghadapi satu pertuduhan memiliki 54.1g methylamphetamine dalam beg plastik di sekitar sebuah rumah di Jalan Junjongan.

    Siti Izzatul Munirah dan Jakaria pula didakwa menyembunyikan pemilikan kenderaan dengan mendaftarkannya di bawah nama pihak ketiga.

    Siti Izzatul Munirah menghadapi satu lagi pertuduhan memiliki lebih 50 barang kemas emas yang didakwa hasil jenayah.

    Pesuruhjaya Kehakiman Muhammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli menangguhkan kes kepada 1 Julai untuk sebutan lanjut kes bagi memberi laluan kepada peguam yang baru dilantik meneliti kes anak guamnya. Walau bagaimanapun tarikh perbicaraan masih belum ditetapkan.

    Pendakwa Siti Khalillah Hussin dan Syafina Abdul Hadzid mewakili pendakwa raya semalam.

    Biro Kawalan Narkotik (BKN) membuat tangkapan pada September 2020 dalam pelbagai kesempatan, termasuk rampasan dadah, wang dan harta semasa operasi itu dan merupakan yang terbesar pernah direkodkan oleh BKN.

    BKN juga menyebut bahawa sindiket itu dipercayai merupakan perniagaan dadah keluarga terbesar dan paling aktif di negara ini dan pembekal terbesar syabu dengan rangkaian pengedaran di seluruh negara ini.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda