Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Nov – Seramai 33 orang pelajar Pra U1 dan 77 orang pelajar peringkat menengah telah disenaraikan sebagai penerima anugerah pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sekolah Menengah Sayyidina Ali, yang berlangsung di dewan serba guna sekolah itu di sini.
Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Pengiran Hajah Zeiniun binti Pengiran Mudin, dalam ucapannya pada majlis itu menekankan, untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan memerlukan kesepakatan dan sekolah tersebut telah melakukan yang terbaik selaras dengan etika dan piagam pelanggan perkhidmatan pendidikan.
“Perubahan sikap individu dan pengubatan ibu bapa, keluarga dan masyarakat amat diperlukan supaya matlamat pendidikan untuk melahirkan generasi impian wawasan negara akan tercapai. Pihak sekolah merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa prihatin terhadap pembelajaran anak-anak mereka dan diharapkan sokongan seperti itu akan berterusan selain terus sentiasa berganding bahu dengan pihak sekolah untuk mencapai kejayaan para pelajar,” ujarnya.


Pengetua sekolah turut berharap majlis seperti itu akan memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar yang lain supaya akan belajar lebih tekun dan bekerja keras dalam meningkatkan kemajuan dalam pembelajaran mereka dan sentiasa bersedia untuk persiapan menghadapi Peperiksaan SPE, GCSE Peringkat ‘O’ dan ‘A’ nanti.
Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran mereka dan penerima anugerah telah dibahagikan beberapa kategori, Tiga Terbaik Dalam Kelas, Terbaik Dalam Subjek, pelajar Tahun 8 yang mendapat keputusan yang membanggakan dalam Peperiksaan SPE tahun ini. Manakala bagi peringkat pra universiti pula terdapat dua kategori iaitu Tertinggi Dalam Subjek dan Pelajar Yang Paling Progresif bagi tahun akademik 2017.
Di samping itu, sekolah berkenaan juga telah memberikan hadiah penghargaan kepada pelajar yang dikenal pasti dalam beberapa kategori lain seperti Kedatangan Terbaik serta Anugerah Perpustakaan, semua itu adalah sebagai salah satu inisiatif pihak sekolah untuk menggalakkan sikap positif sentiasa ditanamkan dalam diri pelajar.