Oleh Yusrih Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Gelombang kedua dan ketiga wabak pandemik COVID-19 telah membawa pelbagai cabaran kepada masyarakat, termasuklah syarikat-syarikat yang perlu menggulung tikar, mereka yang kehilangan pekerjaan, harga barangan yang meningkat, masalah kesihatan fizikal dan juga mental, ketinggalan pelajaran dan lain-lain lagi.
Pada masa yang sama, ia juga telah mempercepatkan transformasi digital, membolehkan perkhidmatan kerajaan dan swasta untuk dibuat secara online. Namun, ia juga datang dengan cabarannya tersendiri apabila jurang kemiskinan semakin ketara di mana golongan masyarakat yang kurang berkemampuan mempunyai kesusahan mendapatkan akses peranti dan internet.
Melihat perubahan dari segi program-program yang biasanya dibuat secara fizikal, dapat dibuat secara dalam talian, apa yang dapat dipelajari melalui pengalaman ini ialah kita sudah boleh meneliti kesesuaian sistem pekerjaan yang progresif di mana remote working ataupun flexible hours boleh diperkenalkan sebagai salah satu pendekatan yang baharu di alam pekerjaan walaupun wabak ini tidak lagi menjadi satu faktor.
Perkara itu ditekankan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari semasa menyampaikan ucapan menjunjung kasih semasa persidangan MMN, hari ini.
Beliau turut menyentuh mengenai titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Pemesyuaratan ke-18 MMN, kelmarin, untuk “menggunakan peluang ini (persidangan MMN) untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki.”

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa berkata, masih terdapat beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh orang ramai yang belum mendapat jalan penyelesaian yang sesuai.
Salah satunya ialah mengenai payment gateway iaitu bagi membolehkan orang ramai untuk menerima pembayaran secara online dari luar negara.
“Ini boleh menggalakkan sektor perniagaan atas talian yang semakin menjadi minat terutama sekali bagi para belia.
“Diharap perkara ini akan mendapat perhatian yang serius daripada kementerian-kementerian yang terlibat memandangkan ianya mampu untuk membuka pasaran bisnes yang lebih luas bagi syarikat-syarikat kitani,” ujarnya.
Selain itu, penyertaan dan penglibatan daripada belia-belia yang terhad disebabkan faktor sosioekonomi juga masih menjadi satu cabaran. Menurut beliau, mereka berisiko dari segi pencapaian akademik, pembangunan minda, masalah sosial, pekerjaan dan terperangkap dalam kitaran kemiskinan.
Isu pengangguran dan juga underemployment juga adalah salah satu isu yang besar, apatah lagi bagi para graduan yang masih di bawah ikatan biasiswa yang telah menerima pelaburan yang besar daripada pihak kerajaan.