Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesiapsiagaan hadapi bencana

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Negara Brunei Darussalam walaupun secara geografinya memang terhindar daripada bencana seperti gempa bumi, letupan gunung berapi dan angin taufan, tetapi ia tidak terlepas daripada terjejas dalam kejadian bencana alam serantau termasuk merasai gegaran akibat gempa bumi yang terjadi di Lautan Sulawesi pada awal Januari lalu.

    “Seterusnya, kita juga ikut terjejas akibat daripada tail-end taufan-taufan yang melanda negara-negara jiran yang lain,” kata Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Awang Abdul Rahim bin Haji Ismail ketika berucap di Perasmian Program Pengurusan Risiko Bencana Di Peringkat Masyarakat (CBDRM) bagi Mukim Kianggeh dan Mukim Kota Batu, hari ini.

    “NDMC telah diberikan amanah oleh pihak kerajaan untuk memikul tanggungjawab pengurusan bencana di Brunei dan sebagai pihak agensi petindak operasi akan membuat tindakan kecemasan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat, namun, kita juga perlu memberi perhatian kepada kegiatan pengurangan risiko bencana dengan memberikan penekanan terhadap penerapan amalan mengurangkan risiko bencana.

    “Ini juga mengambil kira bahawa masyarakat kita sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman bencana dan perlu diberi latihan dalam pengurangan risiko bencana dan juga bagi menghadapi keadaan bencana,” jelasnya lanjut di majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Depot Bandaran, Kampung Belimbing, Subok.

    Majlis itu dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang juga Penghulu Mukim Kota Batu, ketua-ketua kampung dari Mukim Kianggeh dan Mukim Kota Batu serta para pegawai dan kakitangan NDMC.

    Yang Berhormat Awang Naim dan Awang Abdul Rahim hadir pada majlis berkenaan.
    Yang Berhormat Awang Naim dan Awang Abdul Rahim hadir pada majlis berkenaan.

    Dalam hubungan itu, NDMC dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara sekali lagi menganjurkan Program CDBRM sebagai usaha untuk mengurangkan risiko bencana berbanding tindak balas selepas berlakunya bencana.

    Program itu, jelas Awang Abdul Rahim, merupakan salah satu rancangan di bawah keutamaan NDMC ke arah pengurangan risiko bencana secara berterusan melalui program-program pencegahan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

    Beliau berkata, melalui program yang telah disusun sepanjang dua hari, masyarakat di Mukim Kianggeh dan Mukim Kota Batu dapat mendengar beberapa taklimat daripada pelbagai agensi yang berkepentingan termasuk ceramah mengenai dengan pengurusan bencana dari perspektif agama Islam.

    Mereka juga akan ikut serta dalam sesi praktikal seperti teknik memadam api dan kemahiran asas dalam menyelamat nyawa.

    Di samping itu, para peserta program akan menghasilkan peta bahaya (hazard map) yang mengandungi maklumat mengenai kawasan yang pernah ditimpa bencana dan tempat-tempat yang berisiko.

    “Hazard Map ini nanti akan dapat digunakan sebagai kesiapsiagaan sebelum dan juga sebagai bahan rujukan semasa merancang operasi bencana.”

    Beliau menyatakan harapan supaya kerjasama dan komitmen daripada semua penghulu, ketua kampung dan penglibatan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung serta para belia dan sukarelawan akan terus ditingkatkan supaya program berkenaan dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang.

    Beliau turut berharap kerjasama daripada semua pihak itu akan dapat mewujudkan persekitaran kampung yang selamat, aman dan siap sedia menangani sebarang bencana.

    “Inisiatif ini merupakan satu petunjuk yang positif ke arah menaik taraf dan pembangunan kesejahteraan serta perpaduan masyarakat dan kampung.”

    Program CBDRM yang dikendalikan sehingga esok itu disertai oleh para peserta terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dam kampung, ahli-ahli jawatankuasa pengawasan kejiranan kampung serta penduduk dari Mukim Kianggeh dan Mukim Kota Batu.

    Program itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan penglibatan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Pusat Dakwah Islamiah dan Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam.

    Semasa program itu, para peserta akan didedahkan dengan aspek pengurusan bencana di peringkat kebangsaan dan daerah, kesedaran awam tentang insiden tanah susur, jenis-jenis bantuan kemanusiaan yang dihulurkan kepada mangsa-mangsa bencana, bencana dari perspektif agama serta keselamatan dan pencegahan kebakaran.

    Sejak dilancarkan pada 2010, Program CBDRM telah dikendalikan di 15 buah mukim seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada mukim-mukim yang sering kali dilanda bencana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda