Oleh Nurdiyanah R. –
Fenomena bencana alam boleh berlaku sekelip mata tanpa amaran. Ada kalanya memang tidak dapat diduga dan kadarnya tidak dapat disangka.
Susulan dengan musim hujan lebat dan berkemungkinan risiko banjir pada masa ini, alangkah baiknya seluruh masyarakat dapat untuk sentiasa mengambil langkah-langkah berwaspada bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan diri dan insan-insan di sekeliling kita.
PENTINGNYA KESIAPSIAGAAN BERSAMA
Dalam keadaan yang tidak boleh dielakkan ini, pengetahuan keselamatan dan persediaan awal menghadapi banjir amat berguna. Hal tersebut dapat menyelamatkan nyawa atau sekurang-kurangnya mengawal kerugian yang tinggi.
Tiga detik penting yang perlu diambil perhatian sewaktu menghadapi musim banjir iaitu melibatkan langkah berjaga-jaga sebelum waktu banjir, ketika banjir mula berlaku dan juga selepas banjir surut.
Apabila menyentuh mengenai persediaan sebelum banjir, satu hal yang perlu kita semai dalam setiap diri bagi sentiasa mengetahui hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.
Oleh yang demikian, adanya kesiapsiagaan tidak kira daripada pihak-pihak yang berkepentingan mahupun orang awam sedikit sebanyak dapat mengurangkan impak daripada bencana alam yang terjadi seperti masalah banjir, pokok tumbang, tanah susur dan sebagainya.
Tindakan siap siaga itu antaranya dengan melakukan penyelenggaraan longkang-longkang jalan dari semasa ke semasa dan tidak membiarkan kawasan-kawasan itu ditumbuhi semak samun sehinggakan menyekat saluran aliran air yang menyebabkan paras air meningkat ketika hujan yang akhirnya membawa kepada masalah banjir.
Jangan sudah berlakunya banjir baharu sibuk untuk membersihkannya. Kenapa penyelenggaraan itu tidak dilakukan sebelum berlakunya banjir? Seharusnya perkara itu perlu ada kesiapsiagaan dalam menghadapinya dan bukan sudah terjadi masalah baru bertindak.
Pastikan seluruh keluarga awda mengetahui cara-cara bertindak semasa berlakunya kecemasan di rumah. Dalam musim hujan, pastikan telefon bimbit sentiasa berada dalam keadaan baik bagi memudahkan sebarang perhubungan sekiranya berlaku kecemasan.
Tatkala tanda-tanda telah dikesan dan beberapa amaran juga telah diumumkan melalui radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu maka mulakan langkah untuk memindahkan segala perabot atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat serta dokumen penting dalam bekas kalis air atau bawa bersama awda.
KEPEKAAN DEMI KESELAMATAN MENYELURUH
Sehubungan itu, disarankan orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir supaya mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan berlakunya penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit-penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.
Antara langkah yang perlu diambil semasa dan selepas berlakunya banjir termasuklah memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar; memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol dan memasak semua makanan dengan sempurna dan mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih serta sabun selepas menggunakan tandas.
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan bagi menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saluran air tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan-dahan pokok dan mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain.
Orang ramai juga diminta bagi mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit dan mengelakkan dari menyentuh kabel elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.
Bagi mereka yang mempunyai luka-luka dan penyakit kulit ataupun yang mempunyai masalah kesihatan kronik, terutama kencing manis sebolehnya mengelakkan dari terkena air banjir kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.
Walau bagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan