Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 23 DIS – Fenomena bencana alam boleh berlaku sekelip mata, ada kalanya memang tidak dapat diduga dan kadarnya tidak dapat disangka.
Susulan dengan musim hujan lebat dan berkemungkinan risiko banjir pada masa ini, pastinya ia menjadi kegusaran kepada golongan yang menetap di kawasan-kawasan yang berisiko banjir.
Berkesempatan berkongsi pandangan menerusi dalam talian kepada Media Permata, salah seorang penduduk yang menetap di sekitar Rancangan Perumahan Negara (RPN) Bukit Beruang, Daerah Tutong, berkata dalam keadaan yang tidak boleh dielakkan ini, apabila musim hujan lebat berterusan melanda, air yang melimpah dari longkang pasti akan memasuki kawasan rumah bukan hanya di kawasan halaman rumah bahkan juga di ruang dalaman rumah.
Jelasnya lagi, longkang perumahan dilihat belum cukup dalam sehingga mengakibatkan kadang-kadang aliran air deras melimpah dari longkang yang tidak dapat menampung air hujan seterusnya air memasuki saluran longkang di sekitar rumah akan terus memasuki ke saluran lubang dapur dan tandas.
Menyentuh mengenai langkah persediaan menghadapi banjir pada musim hujan ini, beliau bersama suami dan anak-anaknya yang menetap di kawasan perumahan baharu itu turut berkata langkah berwaspada sentiasa dititikberatkan untuk menjaga keselamatan dan kerugian yang berlaku seperti tidak meletakkan apa sahaja barangan elektrik seperti peti ais di kawasan yang rendah.
Beliau turut mengongsikan kejadian banjir sedemikan sehingga memasuki ruang kediaman penduduk setempat turut banyak didengar di kawasan-kawasan rendah di perumahan tersebut.
Oleh yang demikian, adanya kesiapsiagaan tidak kira daripada pihak-pihak yang berkepentingan mahupun orang awam sedikit sebanyak dapat mengurangkan impak daripada bencana alam yang terjadi seperti masalah banjir.
Tindakan siap siaga itu antaranya dengan melakukan penyelenggaraan longkang-longkang jalan dari semasa ke semasa dan tidak membiarkan kawasan-kawasan itu ditumbuhi semak samun sehinggakan menyekat saluran aliran air yang menyebabkan paras air meningkat ketika hujan yang akhirnya membawa kepada masalah banjir.
Sehubungan itu, alangkah baiknya seluruh masyarakat dapat untuk sentiasa mengambil langkah-langkah berwaspada bagi meningkatkan keselamatan dan kesihatan diri dan insan-insan di sekeliling kita dalam menghadapi bencana alam seperti isu banjir.
Orang ramai juga diminta bagi meng-utamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit dan mengelakkan daripada menyentuh
kabel elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.