Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesibukan persiapan sekolah semakin rancak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi anak-anak akan kembali bersekolah untuk musim persekolahan penggal pertama bagi tahun 2021 yang mana akan bermula pada 4 Januari 2021.

    Wartawan sempat membuat tinjauan ke beberapa buah kedai buku di negara ini dan menemu bual ibu bapa yang sedang membuat persiapan untuk persekolahan anak-anak mereka dan berkongsi pandangan mereka, lebih-lebih lagi setelah warga perkhidmatan awam menerima bonus tahunan.

    Seorang jurujual Bismi menjelaskan, pihak Bismi telah membuat pelbagai persiapan persekolahan tahun 2021 terutama dari segi buku-buku kerja dan teks sejak dua bulan yang lalu.

    “Walaupun pandemik COVID-19 telah menjejaskan beberapa kemudahan penghantaran barang tetapi dari segi penyediaan buku-buku kerja dan sekolah ia tidak terjejas dan bekalan buku-buku untuk keperluan pelajar mencukupi,” jelasnya.

    Manakala temu bual media dengan seorang bapa tiga anak, Awang Mohammad Bajuri bin Haji Yusuf menjelaskan membuat persiapan persekolahan anak-anak merupakan senarai belanja tahunan keluarga. Beliau menambah bahawa sebaik sahaja sekolah mengeluarkan senarai buku, mereka mula membuat tempahan di kedai buku dan membayarnya setelah menerima bonus tahunan.

    Ibu bapa kelihatan sedang membeli buku-buku untuk persiapan persekolahan anak-anak mereka.
    Peralatan persekolahan lain yang terdapat di salah sebuah kedai buku di negara ini.

    “Tahun depan anak perempuan saya akan berada dalam Tahun 4 sementara anak lelaki saya dalam Tahun 3 dan sebagai ibu bapa saya lebih mengutamakan buku mereka daripada mencari barang keperluan yang lain.

    “Sekiranya pakaian seragam sekolah, beg dan kasut masih dalam keadaan baik, saya akan meminta mereka memakainya daripada membeli yang baharu,” ujarnya.

    “Dengan cara demikian dapat menjimatkan perbelanjaan kerana mereka berdua juga bersekolah agama pada sebelah petang,” tambahnya.

    Bagi Dayang Suhana, seorang ibu kepada tiga anak menjelaskan bahawa tahun ini salah seorang anaknya akan bersekolah di peringkat menengah dan persiapan untuk keperluan persekolahan itu sedikit bertambah.

    “Untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak memerlukan perbelanjaan yang lebih dan saya telah mengatur perbelanjaan dengan menabung setiap bulan untuk memastikan keperluan persekolahan anak-anak saya mencukupi.

    “Sekiranya saya tidak menabung dari awal tahun, itu akan menjejaskan dan menjadi beban kepada saya,” jelasnya.

    “Hanya tinggal beberapa hari lagi, sebagai ibu bapa kita perlu mengutamakan keperluan sekolah anak-anak kita terlebih dahulu, sebelum membeli keperluan lain setelah semuanya selesai maka itu akan melegakan kita,” tekannya.

    Sementara itu, beberapa buah kedai buku dan kedai tekstil serta gedung membeli-belah juga menawarkan promosi dan potongan harga dengan harga yang berpatutan sehingga dapat memberi manfaat kepada ibu bapa, penjaga dan pelajar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda