Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan mental asas kesejahteraan diri

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Kaunseling telah mengadakan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 bagi warga sekolah dan institusi pendidikan yang berlangsung di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, kelmarin.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Turut hadir ialah timbalan setiausaha tetap (Pendidikan Teras), ketua-ketua jabatan, pegawai dan kakitangan, para pemimpin sekolah dan tenaga pengajar di bawah Kementerian Pendidikan serta para pelajar.

    Pada acara itu, Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Dayang Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah, dalam ucapan alu-aluannya menekankan perihal pentingnya penjagaan kesihatan mental. Beliau menjelaskan seseorang yang memiliki kesihatan mental yang baik lazimnya akan sentiasa menunjukkan sifat-sifat positif seperti beramah mesra, berkeyakinan tinggi, bijak mengurus serta berupaya mengendalikan sesuatu masalah secara bijaksana.

    Majlis diteruskan dengan Forum Khas Kesihatan Mental bertajuk, Minda Sejahtera Tanggungjawab Bersama, bersempena tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2025 iaitu Akses kepada Perkhidmatan: Kesihatan Mental dalam Bencana dan Kecemasan.

    Forum itu menampilkan tiga panel jemputan iaitu Ketua Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar (UKPSTP), Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Awang Ahmad Faisal bin Haji Zainal Abidin; Pegawai Jururawat Tingkat Khas, Ketua Perkhidmatan Pentadbiran Kejururawatan, Kementerian Kesihatan, Hajah Radiah binti Omar; dan Pembantu Kanan Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Khaliq bin Awak, yang berkongsi pandangan daripada perspektif pendidikan, kesihatan dan kerohanian, bagi menggalakkan pertukaran idea serta perkongsian pengalaman sebenar yang relevan dengan konteks sekolah di negara ini.

    Antara perkara yang dibincangkan ialah peranan para pendidik dan pentadbir sekolah dalam mengenal pasti serta menangani krisis kesihatan mental serta kepentingan sokongan awal dan penerapan nilai-nilai Islam seperti belas kasihan, simpati dan empati dalam membantu menangani tekanan emosi dan memelihara kesejahteraan mental.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel dan fasilitator-fasilitator latihan Psychological First Aid yang telah disempurnakan oleh Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Gambar ramai panel jemputan bersama tetamu kehormat. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda