Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan mental baik satu keperluan

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Kakitangan dan pengurusan Syarikat Penerbangan
    Diraja Brunei (RB) tidak ketinggalan meraikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 dengan tema global ‘Kesihatan Mental adalah Hak Asasi Manusia Sejagat’ di Hab Kolaborasi RB, Kampus RB, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan sambutan ialah Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid.

    Kapten Sabirin dalam ucapannya menekankan mengenai kesihatan mental di mana dalam dunia yang serba pantas dan saling berkaitan, kesihatan mental yang baik bukan sekadar kemewahan, ia adalah satu keperluan.

    “Namun, satu daripada lapan orang di seluruh dunia menghadapi cabaran kesihatan mental yang memberi kesan kepada kesihatan fizikal, kesejahteraan keseluruhan dan hubungan mereka, manakala satu daripada empat remaja di negara jiran menghadapi masalah ini,” ujarnya.

    Malangnya, menurut beliau lagi, stigma dan diskriminasi masih menyelubungi isu kesihatan mental di mana orang ramai mempunyai salah faham dan salah tanggapan tertentu, mewujudkan kepercayaan palsu bahawa mereka yang mengalami masalah kesihatan mental adalah berbahaya, tidak dapat diramalkan atau lemah.

    Antara aktiviti yang diadakan semasa sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 anjuran RB. – Gambar serahan RB

    “Oleh itu, stereotaip ini menyebabkan mereka menyembunyikan masalah mereka dan bukannya mencari bantuan. Ini adalah sesuatu yang serius yang perlu kita atasi bersama kerana tiada siapa yang bebas daripada risiko masalah kesihatan mental.

    “Ia bermula daripada tekanan kecil tetapi ditambah dengan lebih banyak cabaran hidup, tanpa mendapat bimbingan yang betul untuk mengatasinya, boleh membawa kepada isu yang lebih besar dan lebih membimbangkan,” tambahnya.

    Oleh itu, beliau menggesa agar mereka tidak mengambil mudah perkhidmatan kaunseling yang disediakan, dan menggunakannya untuk mengemudi melalui pemikiran, perasaan dan cabaran mereka dalam ruang yang selamat dan menyokong.

    Pada majlis tersebut, poster kesedaran kesihatan mental telah dilancarkan untuk menandakan acara di mana poster tersebut akan menjadi sebahagian daripada pengedaran dalaman RB.

    Selain itu, satu jerayawara kesihatan mental mini juga telah dianjurkan dan disertai oleh organisasi-organisasi seperti Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan; Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS); dan Pusat Prihatin, Kementerian Pertahanan.

    Kakitangan RB juga berpeluang menyertai sesi-sesi dan bengkel seperti ‘Kepentingan Perkhidmatan Kaunseling di RB’, ‘Menangani Tekanan dan Konflik dalam Keibubapaan Moden’, Bengkel Terapi Seni dan sesi yoga sebagai sebahagian daripada Friday Wellness
    RB.

    Acara tersebut dianjurkan oleh Pasukan Kaunseling RB, Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat dan Komunikasi Pemasaran RB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda