Friday, January 31, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan mental: Kunci kesejahteraan diri menyeluruh

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN – Kesedaran tentang kesihatan mental amat penting dengan peningkatan masalah kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam.

    Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, semasa membentangkan kertas utama di Seminar Serantau Kesihatan Mental 2023 baru-baru ini, kesihatan mental yang baik penting untuk mencapai kesihatan diri secara menyeluruh.

    Definisi

    Definisi Kesihatan mental yang baik adalah keadaan kesejahteraan di mana seseorang individu menyedari akan kebolehannya sendiri, mampu mengatasi tekanan hidup yang normal, bekerja secara produktif dan memberikan sumbangan kepada komuniti.

    Kepentingan menjaga kesihatan mental berkait rapat dengan aspek fizikal, emosi, psikologi dan sosial serta dapat mempengaruhi cara berfikir, perasaan, perilaku dan keupayaan menghadapi tekanan harian. Kesihatan mental yang baik mampu memberikan sumbangan positif kepada masyarakat.

    Spektrum kesihatan mental

    Kesihatan mental ada dalam spektrum yang meliputi fasa Thriving, Functioning, dan Surviving. Fasa Thriving bermaksud seseorang itu berada dalam keadaan mental yang baik. Fasa Functioning menunjukkan keadaan mental menghadapi kesusahan tetapi masih dapat berfungsi dengan bantuan sokongan. Manakala fasa Surviving menunjukkan keadaan mental yang teruk dan memerlukan bantuan profesional.

    Kisah pesakit mental

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga turut berkongsi kisah seorang guru wanita berusia 43 tahun yang menghadapi banyak cabaran dalam hidupnya, yang mana anaknya berusia tiga tahun memerlukan perhatian khusus sementara suaminya adalah seorang penagih dadah yang sering melakukan keganasan dalam rumah tangga.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham ketika membentangkan kertas utama 1 semasa Seminar Serantau Kesihatan Mental 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
    Antara yang hadir semasa Majlis Seminar Serantau Kesihatan Mental 2023 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Satu-satunya tempat untuk berkongsi masalah ialah dengan rakannya, namun dia telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu. Sejak itu, dia mengalami kesukaran bernafas dan sakit dada dan sering ke hospital beberapa kali tetapi tidak ditemukan masalah kesihatan.

    Simptom yang dialami menyukarkan dia untuk bekerja dan memandu serta menyebabkan dia merasa takut akan kemungkinan serangan jantung atau kematian.

    Namun, Alhamdulillah dia dirujuk ke klinik psikologi dan menerima beberapa sesi terapi untuk mengawal simptom anxiety disorder dan panic attack. Dia juga mendapatkan sokongan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat dalam menguruskan anaknya dan keganasan rumah tangga.

    Pilihan

    Orang yang mengalami penyakit mental tidak memilih untuk terkena penyakit tersebut. Namun, keadaan, lingkungan, dan orang-orang di sekitar mereka dapat menimbulkan tekanan emosi dan stres. Jika tekanan ini tidak diatasi dengan baik dan jika mereka tidak menerima perlindungan dan sokongan yang cukup, maka penyakit mental dapat menjadi lebih parah dan membahayakan nyawa.

    Oleh karena itu, penting untuk memberikan dukungan dan perawatan yang tepat kepada orang yang mengalami penyakit mental.

    Punca masalah kesihatan mental

    Masalah kesihatan mental boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina atau bangsa.

    Beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada masalah ini termasuk pengalaman hidup semasa kanak-kanak seperti penderaan atau trauma, kesunyian, hidup terasing dan kurang pendedahan sosial, menghidapi penyakit kronik dalam jangka masa yang panjang, kehilangan pekerjaan, kehilangan orang yang tersayang, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dan lain-lain.

    Sekiranya masalah ini menyebabkan seseorang merasa tertekan dan sukar untuk mengawalnya, ia boleh mengalami penyakit mental seperti kemurungan, gangguan kebimbangan atau anxiety disorder, gangguan bipolar atau bipolar disorder, dan gangguan psikotik atau psychotic illness.

    Tahap penyakit mental berbeza

    Penyakit mental dan simptomnya adalah berbeza-beza bagi setiap individu. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 30 peratus penduduk dunia pernah mengalami kemurungan dan kebimbangan, manakala kurang daripada 3 peratus mengalami bipolar atau psikotik.

    Kemurungan dapat menjejaskan perkerjaan, kehidupan sosial dan rumah tangga. Simptom kemurungan termasuk perasaan sedih yang berpanjangan, tidak dapat fokus dan lain-lain.

    Gangguan kebimbangan

    Gangguan kebimbangan atau anxiety disorder melibatkan ketakutan dan bimbang yang berlebihan, yang mungkin melibatkan beberapa episod atau panic attack, dan boleh mengganggu aktiviti harian. Gangguan ini boleh berpunca daripada keadaan kesihatan seseorang atau terjadi sejak kanak-kanak hingga dewasa. Simptomnya termasuk gelisah, takut, sukar untuk menumpukan perhatian dan mudah marah.

    Gangguan bipolar

    Gangguan bipolar atau bipolar disorder merupakan penyakit mental di mana seseorang mengalami perubahan emosi yang melampau dan boleh berlaku selama beberapa hari atau lebih.

    Perubahan emosi ini antara perasaan mania dan kemurungan. Ciri-ciri perasaan mania termasuklah rasa sangat gembira, bercakap dengan cepat, penuh tenaga, dan mudah terganggu.

    Insiden penyakit mental di Negara Brunei Darussalam

    Menurut data yang dikeluarkan di Negara Brunei Darussalam menunjukkan peningkatan insiden bagi gangguan kebimbangan, kemurungan dan gangguan bipolar dari tahun 2021 kepada 2022.

    Walau bagaimanapun, data prevalen ini hanya mewakili jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan, dan lebih ramai yang mungkin mengalami penyakit mental tetapi tidak mendapatkan bantuan disebabkan oleh stigma dan penjarakan sosial semasa pandemik COVID.

    COVID dan kesihatan mental menurut WHO

    Laporan WHO mengenai COVID dan kesihatan mental menunjukkan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam prevalen bagi gangguan kebimbangan dan kemurungan semasa pandemik.

    Masalah yang mempengaruhi kesihatan mental orang ramai termasuk tekanan penjarakan sosial, kekangan dalam bekerja dan mendapatkan sokongan, kesepian, kehilangan orang tersayang, dan kewangan. Kakitangan kesihatan juga mengalami kesan yang signifikan, dengan 25 peratus melaporkan gangguan kebimbangan, kemurungan, atau simptom burnout, dan lebih dari 20 peratus mengalami gangguan kebimbangan atau kemurungan.

    Kesihatan mental bagi kakitangan kesihatan Negara Brunei Darussalam

    Sebuah kajian telah dilakukan terhadap kakitangan kesihatan di Negara Brunei Darussalam semasa gelombang pertama pandemik COVID.

    Dalam kajian tersebut, 21.5 peratus daripada 312 peserta mengalami kemurungan dan gangguan kebimbangan, 85.3 peratus mengalami burnout di tahap tinggi dan sederhana, dan 2.24 peratus pernah terfikir untuk bunuh diri dalam masa enam bulan kebelakangan.

    Kajian juga menunjukkan bahawa kadar gangguan mental adalah lebih tinggi bagi mereka yang muda, perempuan, bujang, anak tempatan, mereka yang sedang dalam latihan dan mereka yang pernah mengalami kesihatan mental. Masalah bunuh diri adalah sesuatu yang serius dan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

    Elemen agama dan keimanan

    Elemen agama dan keimanan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan seseorang. Keimanan kita dapat dijadikan sebagai alat yang kuat untuk membantu menjaga kesihatan mental yang baik.

    Agama Islam mengajarkan kepen-tingan menjaga minda dan tubuh yang sihat dan juga menekankan kepentingan sifat sabar dan tawakkal dalam menghadapi apa jua ujian dan cubaan hidup.

    Dengan percaya bahawa segala yang terjadi adalah kehendak Allah SWT, kita akan dapat menerima ujian dengan lapang dada dan akan membantu dalam mengurangkan impak negatif kepada kesihatan mental apabila mengalami kesulitan dan sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT.

    Sebagai umat Islam, kerjakanlah sembahyang lima waktu, perbanyakkan membaca Al-Quran dan berzikir, melakukan ketaatan serta meninggalkan segala maksiat untuk mencapai ketenangan dalam hidup dan beroleh ganjaran di akhirat kelak.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda