Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan mental perlu rangkaian sokongan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kesihatan mental asas kepada kesejahteraan individu, kestabilan keluarga dan kekuatan komuniti.

    Namun, isu kesihatan mental sering kali disalahfahamkan dan dikaitkan dengan stigma, menjadikannya sukar bagi mereka yang memerlukan bantuan untuk tampil ke hadapan.

    Kesihatan mental bukan lagi suatu isu yang perlu dibincangkan secara tertutup atau dianggap remeh berbanding kesihatan fizikal.

    Ia adalah komponen asas dalam kesejahteraan keseluruhan masyarakat. Seperti mana kesihatan fizikal memerlukan sokongan dan infrastruktur, begitu juga kesihatan mental memerlukan rangkaian sokongan komuniti yang kukuh.

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapannya semasa perasmian Simposium Kaunseling PERKAB 2024 yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, hari ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa menyampaikan ucapan pada majlis itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dalam konteks itu, beliau menyatakan peranan pemimpin akar umbi seperti ketua kampung, penghulu mukim, wakil belia, pemimpin agama dan kaunselor amat penting dan mereka merupakan rujukan utama dalam komuniti, di mana perubahan sebenar boleh berlaku.

    Mengulas mengenai Simposium Kaunseling PERKAB berkenaan, Yang Berhormat Dato menyatakan ia menawarkan peluang yang berharga untuk memperkasa pemimpin akar umbi dengan kemahiran dan pengetahuan yang praktikal.

    Melalui perbincangan dan bengkel yang diadakan, beliau menggalakkan para peserta untuk meneroka strategi praktikal, membina kerjasama yang bermakna dan berkongsi idea yang dapat diaplikasikan dalam komuniti masing-masing.

    “Ini peluang untuk setiap abiskita memikirkan cara bagi memperhebatkan inisiatif kesihatan mental, mengenal pasti sumber yang ada dan mewujudkan ruang yang selamat untuk dialog dalam komuniti.”

    Yang Berhormat Dato menekankan menangani isu kesihatan mental bukanlah tugas yang terletak pada bahu para profesional kesihatan sahaja.

    Beliau menyatakan pemimpin agama membawa kekuatan iman, ketua kampung menawarkan kepimpinan dan kepercayaan, wakil belia melambangkan ketahanan dan kecekalan manakala kaunselor menyediakan sokongan dan kepakaran yang amat diperlukan.

    “Bersama-sama, abiskita adalah rangkaian pengaruh yang kuat yang mampu mengubah landskap kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam.”

    Dalam meneruskan misi itu, Yang Berhormat Dato menyeru para peserta simposium untuk mengambil pendekatan yang inklusif dan menyeluruh.

    “Pastikan sumber sokongan kesihatan mental dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, galakan dialog terbuka dan sesuaikan pendekatan abiskita dengan keperluan komuniti yang pelbagai.

    “Cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kita adalah berbeza-beza dan sebagai pemimpin, kita perlu memahami keunikan cabaran ini di peringkat tempatan serta memberikan tindak balas yang bersesuaian dengan nilai dan keperluan rakyat,” tekannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda