Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan mental tanggungjawab bersama

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kesihatan mental bukan sahaja satu hak asasi manusia, tetapi ia merupakan tanggungjawab bersama dan bukan pula tanggungjawab yang terhad kepada agensi-agensi kerajaan yang tertentu.

    Masing-masing mempunyai peranan untuk meningkatkan usaha ke arah menegakkan hak setiap manusia bagi mencapai kesihatan mental yang terbaik.

    “Ini seterusnya ke arah pencapaian sasaran matlamat pembangunan mampan (SDG) 3.4 untuk mengurangkan satu pertiga kematian pramatang daripada penyakit tidak berjangkit melalui pencegahan dan rawatan serta menggalakkan kesihatan mental dan kesejahteraan menjelang tahun 2030.”

    Perkara itu ditegaskan oleh ahli psikologi klinikal dan Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan semasa menyampaikan ucapan pada jerayawara kesihatan mental kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023, hari ini.

    Jerayawara yang berlangsung di KHEU itu dianjurkan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Jabatan Psikiatri dan Perkhidmatan Psikologi, Kementerian Kesihatan dan KHEU.

    Dayang Nor Syahmun semasa menyampaikan taklimat kesihatan mental. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Dayang Nor Syahmun seterusnya mengongsikan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu daripada lapan individu mengalami penyakit kecelaruan mental yang menjejaskan kesihatan fizikal, kesejahteraan hidup, hubungan dengan orang lain, serta sumber pendapatan mereka.

    “Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga semakin meningkat.

    “Antara sebab yang menyumbang kepada masalah ini termasuk masalah kewangan disebabkan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, ketidakseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan, masalah penderaan, masalah buli, masalah di tempat kerja dan lain-lain,” tambahnya.

    Katanya lagi, seperti mereka yang menghidap penyakit fizikal seperti penyakit jantung, pesakit berkecelaruan mental masih dapat mencapai keadaan kesihatan fizikal yang baik, melalui rawatan profesional dan sokongan daripada keluarga atau rakan-rakan.

    “Mereka yang menghidap penyakit kecelaruan mental juga boleh diberikan rawatan dan dorongan sehingga mencapai tahap kesihatan mental yang baik,” jelasnya.

    Tema Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini, jelasnya, telah memfokuskan kepada membanteras stigma dengan meningkatkan pengetahuan mengenai kesihatan mental.

    Stigma, atau prasangka buruk mengenai isu-isu berkenaan kesihatan mental termasuk prasangka yang buruk berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan mental dan orang-orang yang mempunyai penyakit kecelaruan mental, adalah satu penghalang terbesar bagi orang tampil ke hadapan dan bagi mendapatkan hak dalam menerima rawatan serta mencapai kesihatan mental yang sejahtera.

    Menurutnya lagi, ada juga individu yang memilih untuk merahsiakan keadaan mereka yang mengalami penyakit kecelaruan mental kerana takut atau malu dengan stigma, yang kesannya kadangkala lebih perit untuk dilalui berbanding dengan penyakit kecelaruan mental itu sendiri.

    Beliau seterusnya mengongsikan, Kementerian Kesihatan telah pun merancang beberapa program bersama dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan termasuk pihak sukarelawan, agensi swasta dan melalui kerjasama antarabangsa.

    Ini dalam usaha menggalakkan seluruh masyarakat memainkan peranan dalam memastikan hak untuk kesihatan mental yang baik akan dapat dicapai oleh semua, sekali gus memperkasa masyarakat dalam pengetahuan dan tindakan mengenai kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam.

    “Usaha-usaha ini adalah selaras dengan tindakan utama dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022-2025 yang dilancarkan pada 2022,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda