Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Kesihatan bukan sekadar bebas daripada penyakit, tetapi mencakupi kesejahteraan menyeluruh dalam semua aspek kehidupan manusia.
Demikian antara inti pati perkongsian ilmu bertajuk Kesihatan: Amalan dan Amanah yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Rieo Syafi’i bin Salor, semasa Malam Munajat kali ke-186 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, malam ini.
Dalam perkongsiannya, beliau menjelaskan kesejahteraan kesihatan menyeluruh meliputi lapan aspek penting iaitu fizikal, intelektual, emosi, sosial, rohani, alam sekitar, kewangan dan vokasional.
Kesemua aspek itu saling berkait rapat dan memerlukan keseimbangan untuk mencapai kesihatan yang optimum.
“Kesihatan adalah nikmat besar daripada Allah SWT dan amat tinggi nilainya dalam Islam, justeru setiap insan wajib menjaga amanah tersebut – baik jasmani mahupun rohani,” tambahnya.

Hadir menyertai majlis secara fizikal ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bersama Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, yang memulakan acara dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Majlis turut diserikan dengan penyertaan peserta Perkhemahan Remaja ACE (Active, Charismatic, Excellent) dan disokong oleh penyertaan secara maya daripada jemaah masjid, surau serta balai ibadat di seluruh negara, termasuk warga kerja KHEU dan ahli keluarga masing-masing.
Bacaan Surah Al-Mulk dipimpin oleh Pegawai Pelajaran dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Haji Abdul Razak bin Haji Mohd Daud diikuti Doa Munajat oleh Pegawai Pelajaran Agama, JPI, Awang Zamery bin Haji Nayan.
Selesai perkongsian ilmu, majlis diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh peserta Perkhemahan Remaja ACE diikuti Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, JPI, Haji Mohd Fadzillah bin Haji Kampong.
Malam Munajat, yang diadakan secara berkala setiap hari Sabtu malam Ahad, adalah inisiatif KHEU untuk membudayakan amalan kerohanian dalam kalangan masyarakat, di samping meraih keberkatan dan perlindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar negara dan rakyat Brunei Darussalam sentiasa dijauhkan daripada segala bencana, penyakit merbahaya dan musibah.
Dalam pada itu, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat secara maya melalui pautan: https://tiny.cc/munajatkheu

