Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan rakyat amat dititikberatkan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Sepanjang tempoh pemerintahan di bawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda telah membawa dan mencapai pelbagai kemajuan dalam pelbagai bidang, sekali gus meletakkan nama negara setanding dengan negara-negara lain di dunia.

    Salah satu kemajuan yang dapat dilihat dan dinikmati oleh rakyat ialah bidang kesihatan, di mana pelbagai inisiatif telah diambil untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

    Walaupun begitu, Baginda tidak mahu usaha dan kemajuan yang telah dicapai hanya setakat itu sahaja, malah Baginda mahukan perkhidmatan ini terus ditingkatkan dan dimajukan lagi dalam pelbagai aspek.

    Memiliki sifat yang sentiasa dekat dan mesra dengan rakyat, Baginda sanggup turun padang untuk melihat dan mendengar sendiri pandangan dan keluhan rakyat.

    Keperibadian Baginda ini jelas memperlihatkan Baginda seorang raja yang bukan sahaja berjiwa rakyat, malah sifat prihatin yang dimiliki Baginda telah mampu membuat rakyat menyanjungi Baginda sebagai seorang pemimpin yang penyayang, bijaksana dan juga adil dalam mentadbir negara.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menyaksikan mesin teknologi canggih di Kementerian Kesihatan pada 16 November 2023. – GAMBAR FAIL
    Antara pesakit yang menerima hamper raya pada April lalu. Kebajikan dan kesihatan masyarakat menjadi keutamaan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah. – GAMBAR FAIL

    Dengan berkembangnya sistem kesihatan dan ditambah lagi dengan kewujudan penggunaan teknologi yang semakin maju, Baginda tidak mahu pemberian layanan dalam sistem kesihatan dipandang ringan lebih-lebih lagi dalam menyantuni pesakit.

    Seperti dalam petikan titah Baginda semasa lawatan tidak berjadual Mei lalu, Baginda tidak mahu mendengar adanya pesakit yang diabaikan, apatah lagi yang disakiti dengan layanan-layanan berbeza seperti layanan untuk golongan tertentu dilakukan dengan baik, sementara layanan kepada golongan awam dilakukan dengan kasar dan tidak bersopan.

    Baginda Sultan bertitah menyatakan bahawa Negara Zikir atau Negara MIB adalah negara yang menyanjung tinggi konsep rahmat dan belas kasihan kepada semua tanpa mengira pegangan agama dan kaum.

    TEKNOLOGI DALAM KESIHATAN

    Menyentuh mengenai dengan penggunaan teknologi dalam kesihatan pula, buat julung kalinya Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah memperkenalkan perkhidmatan saringan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi retinopati diabetik.

    Di mana dengan kemajuan teknologi, alat pemeriksaan perubatan yang berkembang pesat sepanjang tahun itu telah membolehkan kaedah yang mudah digunakan dan tidak invasif untuk mendiagnosis penyakit, dan ini tidak terkecuali dengan adanya teknologi AI bagi retinopati diabetik.

    Dengan adanya inovasi AI itu, sistem ini akan mengubah standard penjagaan kesihatan dengan meningkatkan kualiti hidup melalui penjagaan pencegahan dengan lebih cekap.

    Manakala menyentuh mengenai perkembangan rawatan buah pinggang sejak tiga dekad kebelakangan rawatan hanya tertumpu kepada terapi penggantian buah pinggang seperti dialisis dan pemindahan buah pinggang.

    Pada masa ini, kemajuan terapeutik telah terbukti dapat mencegah atau menangguhkan penyakit serta mengurangkan komplikasi penyakit buah pinggang, sekiranya rawatan dimulakan sejak awal dan dikekalkan secara konsisten.

    PERLAKSANAN MATLAMAT

    Kerajaan Brunei menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan hampir percuma kepada semua warganegara, dan ini termasuk perkhidmatan hospital, klinik kesihatan, dan pusat rawatan yang moden dan dilengkapi dengan teknologi terkini.

    Dalam melaksanakan matlamat Kementerian Kesihatan juga telah menumpukan kepada lima bidang utama.

    Ini termasuk menaik taraf fasiliti termasuk pemeliharaan bangunan, peralatan perubatan di hospital-hospital, pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik kerajaan; mempertingkatkan aktiviti saringan bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) serta aktiviti mempromosi penjagaan kesihatan yang berkaitan.

    Ini adalah melalui kerjasama dengan pihak swasta atau pihak yang berminat untuk menyebarluaskan serta menjalankan aktiviti saringan tersebut; dan memperkesankan perancangan sumber tenaga manusia bagi menghasilkan kakitangan yang berkemahiran dan kompeten.

    Sementara itu, dua bidang keutamaan lagi yang diberikan tumpuan adalah meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam proses kerja terutamanya bagi sistem pembayaran kerajaan seperti pembayaran digital melalui BruHealth, OCBS dan platform pembayaran secara atas talian yang lain.

    Selain itu, terdapat juga sokongan pelaksanaan Protokol Hijau dengan memanfaatkan penggunaan sistem teknologi maklumat dalam proses kerja harian.

    GOLONGAN WARGA EMAS DIPEDULI

    Melihat dengan kemudahan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan Baginda, rakyat di bawah pemerintahan Baginda amat menjunjung kasih di atas kemudahan perubatan yang diberikan.

    Haji Duraman bin Haji Jambul, 76, menyatakan rasa syukur dengan kemudahan kesihatan dan sistem perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan Baginda terutama bagi golongan warga emas yang sentiasa dipeduli kesejahteraan dan kesihatan sentiasa dipantau, selain ubat-ubatan turut diberikan secara percuma kepada mereka.

    PERKEMBANGAN KESIHATAN

    Sepanjang tempoh perkhidmatan lebih 25 tahun dalam bidang penjagaan kesihatan, banyak perkembangan dan perubahan dalam bidang kesihatan dapat dilihat.

    Seperti dalam bidang kejururawatan, jelas Hajah Shukriah binti Haji Selamat yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan, ketika ditemui telah mengongsikan pandangan beliau mengenai perkembangan penjagaan kesihatan yang telah dilaluinya selama lebih 20 tahun.

    Salah satunya adalah penyerahan pass report iaitu penyerahan laporan kerja yang sebelum ini menggunakan kaedah manual yang melibatkan penggunaan kertas tetapi sekarang dengan dengan adanya kemajuan teknologi, semuanya menggunakan komputer melalui sistem integrasi maklumat kesihatan Brunei yang tersendiri iaitu BruHIMS.

    “Sistem ini sangat memudahkan kerja jururawat dan dengan adanya teknologi baharu ditambah dengan perkembangan IT, kami dapat belajar seiring dengan teknologi yang diterapkan dalam sistem kesihatan pada masa ini,” tambahnya.

    KESIHATAN RAKYAT, KEUTAMAAN BAGINDA

    Melihat dengan perkembangan kesihatan yang terus melangkah dan berkembang itu, jelas menunjukkan di bawah kepimpinan Baginda Sultan, kemajuan dalam sistem kesihatan bukan sahaja dapat dilihat melalui kemudahan dan peralatan teknologi yang canggih, malah warga kerja dalam Kementerian berkenaan turut dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran seiring dengan kemajuan teknologi masa kini.

    Ke arah memberi perkhidmatan dan rawatan yang terbaik, Kerajaan Baginda melalui Kementerian Kesihatan sentiasa terus berusaha dan komited untuk memastikan rawatan-rawatan baharu ini tersedia untuk semua pesakit yang memerlukan.

    TEGURAN TANDA KASIH BAGINDA

    Setiap titah menjadi kata indah, setiap teguran menjadi pembakar semangat untuk berubah memperbaiki kelemahan, setiap langkah Baginda diiringi dengan doa rakyat dan demi sama-sama menggapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

    Daulat Kebawah Duli Tuan Patik! Bersama-samalah kita bermunajat selaku rakyat dan penduduk di negara ini kepada Allah SWT semoga Baginda Sultan dan kerabat diraja dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan berpanjangan dan kekal karar memerintah singgahsana kerajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda