Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kesihatan rakyat keutamaan negara

    Oleh Syahmi Hassan

    Tema Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39, ‘Menjayakan Wawasan Negara’ jelas menunjukkan negara berusaha dengan penuh dedikasi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menjadi sebuah negara yang maju dengan mencapai matlamat-matlamat utamanya iaitu rakyat yang berpendidikan tinggi; berkemahiran dan berjaya; rakyat mempunyai kualiti kehidupan tinggi; dan ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.

    Seperti salah satu matlamat yang ingin dicapai dalam wawasan tersebut iaitu rakyat yang mempunyai kualiti kehidupan tinggi, mengetengahkan faktor kesihatan menjadi asas dalam merealisasikan matlamat tersebut.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan menyediakan perubatan dan penjagaan kesihatan percuma kepada rakyat dan penduduk melalui hospital-hospital kerajaan, pusat-pusat penjagaan kesihatan dan klinik-klinik kesihatan serta meningkatkan penglibatan sektor-sektor swasta untuk sama-sama menjayakan matlamat tersebut.

    Sejak berlakunya gelombang COVID pada bulan Mac 2020, satu aplikasi kesihatan, BruHealth, telah dihasilkan dan diguna pakai oleh seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, yang diusahakan oleh Kementerian Kesihatan dalam membantu mengawal penularan wabak COVID.

    Apa yang penting juga, aplikasi tersebut juga memperkasakan setiap warganegara dan penduduk di negara ini untuk meningkatkan kefahaman dari segi kesihatan masing-masing kerana ia adalah pendedahan mengenai penjagaan kesihatan kepada setiap individu.

    Kerajaan sangat menitikberatkan kesihatan kanak-kanak dengan memberi vaksinasi COVID-19 kepada golongan berumur lima hingga 11 tahun pada bulan April 2022.
    Kementerian Kesihatan menyediakan perubatan dan penjagaan kesihatan percuma kepada rakyat dan penduduk melalui hospital-hospital kerajaan, pusat-pusat penjagaan kesihatan dan klinik-klinik kesihatan.

    Aplikasi BruHealth telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penaung Diraja Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2022 di mana ia dianugerahkan kepada pemenang terbaik keseluruhan daripada kalangan semua kategori Anugerah BICTA 2022.

    Berikutan itu, pada bulan Disember tahun lepas, aplikasi BruHealth telah memenangi anugerah pada APICTA 2022 di Islamabad, Pakistan dalam kategori penglibatan dan perkhidmatan komuniti untuk kesihatan dan kesejahteraan.

    Pencapaian anugerah-anugerah tersebut menunjukkan usaha kerajaan dalam menangani situasi COVID bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduknya dengan mewujudkan satu sistem yang bertepatan dengan situasi yang dihadapi ketika itu.

    Berkaitan dengan COVID, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dimulakan pada bulan April 2022.

    Vaksinasi itu adalah secara sukarela, atas kemahuan dan persetujuan ibu bapa atau penjaga sendiri di mana ibu bapa atau penjaga dipelawa untuk membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan vaksin COVID di pusat-pusat vaksinasi dengan membuat tempahan slot melalui aplikasi BruHealth terlebih dahulu.

    Pada 12 Oktober 2022, kolej sains kesihatan swasta pertama di Negara Brunei Darussalam, Kolej Sains Kesihatan Jerudong Park Medical Centre (JCHS) telah ditubuhkan dan telah menerima 54 pelajar pada pengambilan pertamanya.

    Perasmian kolej yang ditubuhkan oleh Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dengan kerjasama Far Eastern University (FEU) itu berlangsung di Blok Mahligai 2B, Jalan Ong Sum Ping di ibu negara.

    Objektif kolej tersebut adalah untuk memudahkan pembelajaran dan pertumbuhan profesional, serta untuk membangun generasi jururawat baharu yang tabah, cemerlang, berorientasikan penyelidikan, dan penuh belas kasihan yang seterusnya akan meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup individu, keluarga dan komuniti.

    Pada 1 November 2022, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah melancarkan Perkhidmatan Kardiologi Nuklear, menandakan komitmen PJSC dalam usaha berterusan ke arah meningkatkan keupayaan sistem penjagaan kesihatan Brunei dan menyediakan penjagaan terbaik bagi pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kardiovaskular.

    Dengan kewujudan perkhidmatan itu, ia membolehkan ahli-ahli klinik berupaya untuk mendapatkan maklumat mengenai aliran darah ke jantung dan dapat mengakses fungsi jantung.

    Dengan teknik kardiologi nuklear, mereka dapat mendiagnosis dan mengasingkan pesakit-pesakit yang boleh mendapat manfaat daripada pengurusan perubatan atau intervensi seperti CABG atau stenting diperlukan.

    Kesemua ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Kesihatan serta agensi-agensi yang berkaitan untuk sentiasa memikirkan dan melaksanakan jalan terbaik dalam menangani sesuatu masalah yang berkaitan dengan kesihatan, demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat dan penduduk yang tinggal di Negara Brunei Darussalam, bersesuaian dengan wawasan negara 2035 dalam memberikan rakyatnya kualiti kehidupan yang tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...