Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesihatan terjejas akibat tekanan akademik melampau

    Obsesi China terhadap kecemerlangan kurikulum bukanlah satu rahsia, namun dalam beberapa kes yang melampau, ia boleh membahayakan nyawa kanak-kanak.

    Seorang budak lelaki berusia 11 tahun baru-baru ini telah dimasukkan ke hospital selepas membuat kerja rumah dari pukul 8 pagi hingga 10 malam tanpa sebarang rehat.

    Pada pukul 11 malam, budak itu menjadi gelisah dan mengalami pernafasan laju, pening kepala, sakit kepala, serta kebas pada anggota badan.

    GAMBAR ODDITY CENTRAL

    Ibu bapanya yang mengawasinya sepanjang hari di rumah keluarga mereka di Changsha, China telah panik dan membawanya ke hospital tempatan dan dia dia disahkan mengalami masalah pernafasan akibat hiperventilasi.

    Insiden itu berlaku pada akhir bulan lalu dan budak lelaki yang hanya dikenali sebagai Liangliang, telah dipakaikan alat bantuan pernafasan oleh doktor dan diarahkan untuk mengawal semula corak pernafasannya.

    Keadaan pernafasan yang dialaminya itu dilaporkan berpunca daripada pernafasan yang terlalu laju dan dalam akibat tekanan emosi yang dialami setelah dipaksa oleh ibu bapanya untuk membuat kerja rumah secara berterusan selama 14 jam.

    Simptom yang berkait dengan keadaan pernafasan seperti ini termasuk rasa sesak di dada, kesukaran bernafas, pening kepala, dan kebas pada lengan, kaki, bibir, malah seluruh badan.

    Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan kekejangan otot umum atau simptom ‘chicken hand’ dengan jari yang tersentak-sentak dan jika tidak dirawat dengan segera, nyawa pesakit boleh turut terancam.

    GAMBAR ODDITY CENTRAL

    Walaupun kes seperti Liangliang nampak jarang berlaku, menurut Hospital Pusat Changsha, jabatan kecemasan pediatrik sahaja telah menerima lebih daripada 30 kanak-kanak dengan simptom serupa sepanjang bulan Ogos dengan peningkatan sebanyak 10 kali ganda berbanding bulan-bulan sebelumnya.

    Tekanan akademik, kebimbangan akibat peperiksaan, dan penggunaan telefon bimbit yang berpanjangan disenaraikan sebagai punca utama kejadian tersebut.

    Kisah mengejutkan Liangliang sekali lagi menyerlahkan obsesi China terhadap pencapaian akademik. Di negara Asia tersebut, peperiksaan yang amat sukar seperti ‘gaokao’ yang digeruni boleh menentukan masa depan seseorang dan memberi tekanan melampau kepada pelajar sekali gus menjejaskan kesihatan mereka. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda