IPOH, 20 Sept — Walaupun melakukan kesilapan pada terjunan keempat, penerjun negara Jellson Jabilin merangkul pingat emas, bagi acara platform lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Pusat Akuatik Tuanku Zara di sini hari ini.
Jellson, 17, berasal dari Kota Kinabalu berkata dia melakukan kesilapan kerana berasa gementar namun berpuas hati dapat menyumbang dua pingat emas untuk negeri di bawah bayu itu, pada temasya Sukma di Perak, kali ini.
“Terjunan itu (Back 3 1/2 Somersaults) saya tidak pernah buat, saya agak gementar namun selepas terjunan itu, jurulatih telah menenangkan saya dan memberi sedikit motivasi selain memberikan semangat.
“Saya gembira dapat menyumbangkan dua emas untuk Sabah kerana dua tahun lepas pada Sukma Sarawak, saya hanya menyumbangkan dua pingat perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jellson mengumpul mata keseluruhan 347.00 manakala Enrique Macartney Harold dari Sarawak menerima pingat perak (329.90 mata) dan rakan sepasukannya, Bertrand Rhodict Lises mendapat pingat gangsa dengan kutipan mata 314.35.
Semalam, Jellson bersama rakan sepasukannya, Gabriel Gilbert Daim, meraih emas buat Sabah pada acara 3 meter papan anjal seirama lelaki.
Jelasnya, selepas ini beliau akan mempersiapkan diri untuk Sukan Olimpik Musim Panas Remaja 2018 di Buenos Aires, Argentina, pada bulan depan.
Bagi acara 3 meter papan anjal seirama wanita, Wilayah Persekutuan menambah koleksi emas menerusi gandingan penerjun kebangsaan, Loh Zhia Yi, 21, dan Ong Ker Ying, 16.
Loh berkata dia dan Ong gembira meraih pingat emas, namun masing-masing menyatakan rasa tidak puas hati dengan aksi hari ini berbanding sewaktu latihan.
“Semua peserta hari ini melakukan aksi yang bagus,” katanya yang telah mengumpul lima pingat emas termasuk hari ini bagi acara terjun, sejak Sukma di Melaka pada 2010. – Bernama