Oleh Syahmi Hassan –
JAKARTA, INDONESIA, 10 OGOS – Kestabilan politik di rantau ASEAN amat penting di dalam mencapai komuniti ASEAN yang aman, stabil dan makmur.
Mengekalkan perpaduan dan hubungan dalam rantau ini adalah penting, dengan cabaran yang memerlukan tindak balas secara kolektif dan bekerjasama. Rakyat sebagai teras kekuatan komuniti ASEAN mencerminkan tema ASEAN pada tahun ini, ASEAN Matters: Epicentrum of Growth.
Perkara tersebut ditekankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam perutusan Baginda bagi Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-44 diadakan pada 5 Ogos hingga hari ini, di Jakarta, Indonesia anjuran Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia.
Perhimpunan Agung AIPA ke-44 telah disertai oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib selaku ketua rombongan.
Turut menyertai rombongan ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar berserta 11 orang ahli MMN dan beberapa orang pegawai Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.


Dalam perutusan itu, Baginda juga menyatakan gangguan bekalan makanan global dan ketegangan geopolitik menggariskan keperluan bagi rantaian bekalan pertanian yang berdaya tahan, sistem pengeluaran mampan dan kemajuan teknologi dalam sektor pertanian makanan.
Ahli parlimen AIPA dijangka akan meningkatkan usaha ASEAN dalam merealisasikan matlamat ini dan memupuk kerjasama serantau.
Baginda juga menekankan perkongsian penting antara ASEAN dan AIPA, melalui ASEAN Leaders’ Interface with AIPA semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 yang telah diadakan pada Mei lalu di Labuan Bajo.
Platform tersebut telah memudahkan dialog mengenai kebimbangan bersama dan memperkaya kerjasama antara kedua-dua entiti.
Dalam perutusan Baginda juga menyatakan agenda Perhimpunan Agung AIPA ke-44 kekal berkaitan dengan cabaran serantau dan global, yang memerlukan penyelesaian secara kolaboratif.
Negara Brunei Darussalam berikrar untuk memberi sokongan berterusan, menggariskan matlamat bersama bagi meningkatkan kebajikan kolektif ASEAN.
Selaras dengan Spirit of ASEAN, Perhimpunan Agung AIPA berperanan penting dalam menghidupkan dan memperkukuhkan komitmen ahli parlimen ASEAN demi keamanan, kestabilan dan pertumbuhan rantau ASEAN.
Tema Perhimpunan Agung AIPA ke-44 tahun ini Responsive Parliaments for a Stable and Prosperous ASEAN adalah sangat tepat pada masanya dan relevan kerana ia menggariskan peranan parlimen dalam memberi respons kepada keperluan rakyat dan kepentingan bekerja secara kolaboratif antara negara untuk kestabilan dan kemakmuran serantau.
Sementara itu, dalam kenyataan semasa Sidang Pleno Pertama, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN telah menyatakan parlimen berperanan sebagai wakil rakyat dan perlu memastikan keputusan dan tindakan yang dibuat adalah mengikut keperluan rakyat.
Tindakan-tindakan yang diambil juga hendaklah telus untuk penduduk dan rakyat secara amnya, seterusnya mengurangkan jurang antara urus tadbir dan aspirasi rakyat.
Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa negara bergerak maju ke hadapan dan terus komited di dalam mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Seruan untuk pelaksanaan segera Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) tidak boleh dihalang di dalam merealisasikan matlamat SDG, khususnya tindakan segera dalam memerangi perubahan iklim.
Peralihan yang ketara dan ketidakpastian iklim global telah menghalang banyak negara dan keupayaannya untuk mengurangkan kesan langsung dan tidak langsung terhadap kemajuan sosial dan ekonominya dengan berkesan.
Kerajaan memainkan peranan sebagai pemimpin dan badan eksekutif dalam memacu SDG serta perlu berganding dan bekerjasama dengan parlimen yang terlibat secara aktif dalam usaha tersebut, seterusnya membina komuniti ASEAN yang stabil dan makmur untuk kepentingan generasi masa kini dan yang akan datang.
Perhimpunan Agung AIPA ke-44 telah dibuka rasmi oleh Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Joko Widodo. Dalam ucapan rasminya, beliau telah menekankan kepentingan parlimen dalam mencerminkan dan memperjuangkan aspirasi dan kepentingan rakyat. Sebanyak 30 resolusi telah dibincangkan dan diluluskan di dalam komiti Young Parliamentarian (YPA), Women of AIPA (WAIPA), politik, ekonomi, sosial dan organisasi.
Perhimpunan Agung AIPA ke-44 diakhiri dengan sebuah kenyataan bersama secara sebulat suara yang ditandatangani oleh negara-negara ahli parlimen AIPA.
Pada Majlis Transfer of Office yang diadakan semasa penutup tirai Perhimpunan Agung AIPA ke-44, Laos telah menerima kepengerusian AIPA sebagai hos seterusnya bagi Perhimpunan Agung AIPA yang akan diadakan tahun hadapan.

