Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kesukaran hidup pejuang amputasi di Iraq

    BAGHDAD – Karrar Hassan, 25, salah seorang daripada puluhan ribu pejuang Iraq yang tercedera semasa menentang kumpulan Islamic State (IS), kini hilang keupayaan dan berhadapan kesukaran meneruskan kehidupan dengan pencen hanya AS$400.

    Pada tahun 2014, dia telah menganggur dan menyertai Hashed al-Shaabi, sebuah pakatan separa tentera yang dikuasai oleh kumpulan yang disokong Iran, bersama dengan pasukan kerajaan Iraq dalam membanteras kumpulan berani mati itu.

    Beberapa bulan kemudian, semasa pertempuran sengit berlaku di bandar raya Fallujah di barat Baghdad, kaki kiri Karrar telah terkena letupan dan kehilangan kakinya. Hashed menghantarnya ke pusat rawatan di Iran dan Lubnan dan dia kembali dengan kaki prostesis, dari bahagian lutut ke bawah.

    Itu sudah cukup untuknya kembali semula ke barisan hadapan. Pada tahun 2015, Karrar kemudian mengikuti pertempuran di bandar raya Baiji, wilayah utara dari ibu negara itu dan terkena peluru. Pada kali ini, dua peluru mengenai lutut kanannya dan cedera teruk. Sejak itu dia tidak dibenarkan menyertai pasukan itu lagi.

    Iraq mengisytiharkan kemenangan ke atas IS pada bulan Disember 2017, selepas serangan tiga tahun. Ianya telah mencederakan puluhan ribu pejuang. Hashed mengatakan bahawa seramai 8,000 maut dan 26,000 cedera semasa pertempuran menentang IS itu.

    Seorang amputasi warga Iraq kelihatan mengendalikan kerusi roda elektriknya di ibu negara Baghdad. – AFP
    Tahssin Ibrahim, pembuat kaki palsu, sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian di bengkelnya di ibu negara Baghdad. – AFP

    Kerajaan Iraq pula, yang menggerakkan puluhan ribu anggota pasukan keselamatannya untuk kempen itu tidak memberi jumlah keseluruhannya. Karrar, bapa kepada tiga orang anak kecil menjadi orang tidak berupaya.

    Menganggur dan kini tidak dapat memandu, dia menghabiskan hari-harinya di rumah untuk mencari cara bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga menerusi pencen bulanannya sebanyak 500,000 dinar Iraq (AS$400).

    Jumlah ini dianggap sedikit berbanding gaji yang biasa diterima di Iraq, namun buat Karrar, ianya tidak mencukupi untuk membeli ubat bagi kecederaan yang dihadapi, begitu juga untuk memberi makan kepada isteri dan tiga orang anaknya.

    Dia mengatakan salap yang diperlukan untuk kulitnya bagi menghindari kesan lecet pada alat prostesisnya bernilai AS$800 dan ia bertahan selama 10 bulan.

    Karrar ingin untuk bekerja, “tetapi dengan kaki saya ini, saya tidak mampu untuk memandu teksi” atau mengangkat sesuatu yang berat.

    Abu Mehdi al-Mohandis, ‘orang penting nombor dua’ dalam kumpulan Hashed, berkata hospital yang menjalankan unit separa tentera telah menyediakan rawatan percuma kepada 60,000 pejuang dan 300,000 orang awam.

    Dhia Hussein yang menjalankan operasi hospital Al-Razi bagi kumpulan Hashed di Baghdad berkata bahawa sebanyak 1,450 amputasi telah menjalani rawatan sejak enam bulan lalu sahaja.

    Iraq mempunyai sejarah yang panjang dalam konflik berdarahnya, dari peperangan tahun 1980-1988 dengan negara jiran Iran sehinggalah pencerobohan yang diketuai AS pada tahun 2003 dengan menggulingkan diktator Saddam Hussein dan kemudian melawan IS.

    Setiap konflik telah mengakibatkan jumlah korban yang ramai, di mana ramai daripada mereka menjadi amputasi. Tahssin Ibrahim telah membuat peralatan prostetik di Baghdad selama lebih dari 30 tahun.

    Karrar Hassan, salah seorang daripada tentera Iraq yang tercedera ketika bertarung menentang kumpulan Islamic State (IS) kini telah kehilangan upaya dan sukar untuk meneruskan hidup dengan menerima pencen sebanyak AS$400.
    Alat prostesis yang paling asas di Iraq berharga AS$1,000. – AFP

    Dia berkata jumlah amputasi telah meningkat sejak konflik tahun 2003 dan jumlah bengkel-bengkel yang khas dalam pembuatan prostesis serta kedai-kedai yang menjual peralatan perubatan telah meningkat 10 kali ganda dalam tempoh 15 tahun yang lalu.

    Kebanyakan pelanggan Ibrahim adalah mereka yang tercedera dalam peperangan dan dia berkata kebanyakan mereka terpaksa meminjam wang untuk membayar anggota buatan tiruan ini. Alat prostesis yang paling asas berharga AS$1,000 di Iraq, lebih daripada dua kali ganda daripada purata gaji bulanan di sana.

    Ahmed, 32, telah ditugaskan bersama polis persekutuan di bandar kedua, Mosul, salah satu pusat utama kumpulan berani mati sebelum mereka dihalau keluar dalam serangan ganas yang berlangsung selama berbulan-bulan lamanya.

    Ledakan mortar IS telah memecahkan kaki kanannya, dan Ahmed berkata pencennya iaitu 575,000 dinar Iraq adalah tidak mencukupi.

    Setiap bulan, separuh daripadanya akan digunakan untuk “membayar rawatan perubatan,” termasuklah perjumpaan doktor dan pembelian ubat-ubatan. Hanya separuh daripada pencennya itu digunakan untuk membeli makanan buat keluarganya. Pemeriksaan doktor juga bermakna kos tambang teksi, katanya.

    “Bas tidak sesuai bagi orang cacat, jadi saya perlu menaiki teksi,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

    Seorang doktor yang bercakap kepada AFP, Ghassan al-Alussi, percaya bahawa pencen yang diperuntukkan kepada veteran-veteran perang ini adalah “tidak mencukupi”.

    “Institusi awam dan kesihatan perlu berusaha lebih bagi kemudahan dan kesenangan pejuang-pejuang amputasi ini kerana mereka telah mempertahankan negara,” kata Alussi. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda